`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, February 6, 2013

Air Selangor: Najib bakal dihukum kalau terus khianati rakyat? ― Dzulkefly Ahmad



Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak “menghadiahkan” SYABAS pinjaman RM120 juta ditanggapi umum sebagai satu usaha menyelamatkan syarikat tersebut. SYABAS, pemilik konsesi edaran air dan Puncak Niaga, salah satu dari tiga pemilik konsesi rawatan air di Selangor, adalah milik majoriti Tan Sri Rozali Ismail.
Tuduhan “bailout” atau “tindakan menyelamat” sebuah syarikat kroni Umno tidak kerlaluan bahkan amat menasabah, mentelahan Tan Sri Rozali adalah juga mantan bendahari Umno Selangor.
“Keberanian” Najib memberi pinjaman kepada SYABAS tidak lagi mengejutkan ramai. Najib mungkin berpandangan bahawa rakyat tak faham selok-belok dan sebab-musabab isu krisis air Selangor. Kejahilannya tentang tahap pengetahuan dan pencerahan minda rakyat masakini menggalakkan Najib cuba membohongi rakyat sekali lagi bahawa pinjaman untuk SYABAS adalah kerana kegagalan tadbir-urus kerajaan negeri. Sangat dangkal bahkan bangsat sekali alasan Najib ini.
Untuk ingatan Najib, rakyat tahu bahawa kerajaannya memberi pinjaman mudah (soft loan) kepada SYABAS pada Disember 2009, sebanyak RM320 juta berbentuk pinjaman tanpa faedah (interest-free), tanpa cagaran (non-collatarised) dan boleh dibayar 20 tahun kemudian (back-loaded). Pernahkah mana-mana pihak mendapat pemberian “hadiah” seperti itu termasuk peminjam golongan dhaif seperti dalam program Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan lain lain.
Mungkin Najib juga lupa bahawa rakyat sekali lagi tahu bahawa kerajaan telah memberi satu lagi pinjaman bayaran balik 20 tahun sebanyak RM110 juta pada Oktober 2011. Senang-senang sahaja dilakukan pentadbiran Najib!
Seoalah-olah rakyat buta dan tuli, Najib pada bulan berikutnya yakni November 2011, telah membayar pinjaman bon SYABAS yang telah matang (facing payment) sebanyak RM2.9 bilion. Nah itu sahaja telah menelan sejumlah RM3.41 bilion, dengan tidak mengambil pelbagai pemberian geran dan pinjaman terdahulunya sejak penswastaan.
Najib tidak perlu diamarankan bahawa Laporan Ketua Audit Negara telah secara tajam dan kritis mengingatkan tadbir-urus korporat SYABAS yang sangat dipertikaikan termasuk membuat iklan berjuta ringgit, pembelian asset-aset yang tidak punya hubungkait dengan urusan mengurangkan air-tak berfaedah atau Non-Revenue Water (NRW).
Segala dakwaan tentang kelemahan kerajaan negeri dan halangan-halangan yang kononnya dicetuskan oleh kerajaan negeri adalah meleset.  Tegasnya SYABAS gagal memenuhi sasaran KPI yakni 20 peratus  pada tahun 2011  dan sehingga kini masih di tahap  pada 32 peratus. SYABAS gagal telah kononya berbelanja berbilion ringgit sebagai perbelanjaan kapital (Capex) untuk tambahbaik paip dan sebagainya bagi tujuan tersebut bagi menurukan NRW. SYABAS gagal da Najib tahu hakikat ini.
Amaran pihak kerajaan negeri untuk mengambil alih SYABAS dalam 14 hari bukan ditanggapi beberapa pihak sebagai sangat wajar dan menasabah. Keupayaan SYABAS dalam membekalkan air kepada lebih 5 juta pengguna di Selangor, Wilayah dan Putrajaya sudah tidak dapat lagi dijamin khasnya di ambang pilihanraya. Kekhuatiran berdepan dengan krisis akibat “sabotaj” seperti yang berlaku baru-baru ini kerana faktor penyelenggaran pam adalah sangat serius.
Pelbagai pihak termasuk beberapa operator konsesi loji rawatan air bahawa pengambilan SYABAS oleh kerajaan negeri mungkin juga adalah baik bagi mereka. Sebabnya mudah. SYABAS adalah “bad paymaster” dan puratanya hanya membayar 40 peratus - 45 peratus menyebabkan mereka tidak berminat untuk mengeluarkan lebih dari kapasiti biasa. Penulis mendapat faham bahawa kapasiti loji rawatan air ini, seandainya diperlukan, masih punya “reserve capacity” untuk dipertingkatkan bekalan air terawat, sekaligus mampu menghindarkan apa jua cakap-cakap tentang krisis air.
Dalam suasana bayaran SYABAS pada tahap ini, mereka tidak berminat untuk mempertingkatkan kapasiti kerana akan mencetuskan masalah”aliran-tunai” atau “cash flow” yang lebih parah. Pengambilan oleh kerajaan negeri akan merubah imej status “bad-paymaster” kepada “good-paymaster”.
Pengambilalihan SYABAS oleh kerajaan negeri juga akan dapat menangani dakwaan amalan kronisme dan nepotisme yang lazim diamalkan oleh pihak SYABAS terhadap kontraktor-kontraktornya yang membekalkan paip, bahan kimai, barang-barang elektrik, pam dsbnya. Ramai yang ingin bertanya apakah kaitan Rozali dalam syarikat seperti Mewah Kota SB, Damini SB, Semarak Niaga SB dan beberapa syarikat lain.
Di samping pemberian kerja penyelenggaraan dan perolehan kepada vendor-vendor akan menjadi lebih adil dan saksama, tindakan kerajaan negeri untuk mengambil alih SYABAS akan menyuntik tahap kayakinan rakyat kepada SYABAS.
Sudah sampai waktunya, Najib dan Menteri Tenaga, Teknoloji Hijau dan Air, mengakui bahawa pengurusan air di Selangor tidak lagi mampu diberikan kepada kroninya Rozali Ismail. Tegasnya, Penswastaan Air oleh Tun Dr Mahathir Mohamad telah gagal dalam gelombang pertama.
Dengan penstrukturan semula air oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dengan Akta Perkhidmatan Industri Air (WSIA) dan pembelian aset-aset air oleh Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB), maka perlu diberi amaran kepada Najib supaya jangan ulangi pengkhianatan kepada rakyat dan pengguna dalam gelombang kedua ini.
Najib mesti memberi laluan kepada kerajaan negeri Pakatan Rakyat untuk mengambil alih SYABAS. Lebih baik lagi, Najib juga mesti bertindak rasional untuk merawat hati rakyat dengan memberikan pengurusan air kepada kerajaan negeri dan tidak kepada Rozali Ismail dalam penstrukturan semula. Hakikatnya Kerajaan Negeri hanya punya 30  peratus saham SYABAS manakala pemegang saham terbesar adalah Puncak Niaga dan Kementerian Kewangan DiPerbadankan pemegang saham emas (Goden Share). Kerajaan Persekutuan punya kuasa membuat keputusan seperti termaktub dalam WSIA tetapi jelasnya lebih suka berpolitik serta mementingkan krooni dari rakyat teramai.
Kalau Najib terus berdegil, maka rakyat akan bakal menghukumnya dengan lebih berat dan dahsyat lagi dalam pilihanraya umum ke-13 nanti. Ingat!
* Dr Dzulkefly Ahmad ialah ahli parlimen Kuala Selangor dan pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan PAS.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.