`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, June 29, 2016

Kalau dah 'toman' letakkan mahkota di kepalanya pun ia tetap 'toman'

Image result for king najib

Kata orang tua-tua di Negeri Sembilan untuk meletakan seseorang ditempatnya, ada satu pepatah yang selalu kita dengar dimasa yang lama dahulu. Perpatah itu berbunyi  ‘Kalau dah toman tu letak mahkota dikepalanya pun ia tetap toman’. Istilah ‘toman’ ini merupakan istilah yang dikatakan kepada manusia yang rendah darjatnya malahan ia lebih rendah dari perkataan yang semua orang pernah mendengarnya iaitu, sengkek.

Ia selalunya diberikan kepada manusia yang mempunyai peribadi yang terlalu rendah dan tidak layak untuk diberikan tanggungjawab yang besar, kerana orang yang dalam kategori ‘toman’ ini tidak akan melakukan perkara-perkara yang baik samada kepada dirinya sendiri atau pun kepada masyarakat. Malahan perbilangan ini ditambah dengan berbunyi begini: ‘jika yang berdarah Raja itu jika ia menjadi seorang tukang sapu sampah pun ia tetap Raja’.

Jika kita fikir dan dibandingkan dengan kepimpinan pula perbilangan tentang ‘toman’ ini amat relevan sekarang ini. Kita sering melihat ramai pemimpin yang bertaraf ‘toman’ ini diberikan tanggungjawab besar sedangkan tempat itu bukannya tempat untuk mereka. Itu sebabnya mereka menjadi pemimpin yang tidak betul kerana mereka ini tidak mempunyai moral dan boleh menghalalkan perkara yang haram. Malahan tidak kurang yang mengharamkan perkara-perkara yang halal.

Seseorang ‘toman’ ini boleh kita berikan tanggungjawab besar seperti untuk memimpin misalnya (yang diibaratkan sebagai meletakkan mahkota di kepala mereka), tetapi mereka tetap ‘toman’ yang rendah taraf nya di sisi masyarakat. Mereka akan menjadi takbur dan angkuh dan berbuat apa-apa yang mereka suka kerana mereka telah diberikan pangkat atau mahkota di kepala mereka sedangkan mereka tidak layak untuk dimahkotakan. Mereka akan melakukan semuanya perkara yang mungkar seperti rasuah serta menyalah gunakan kuasa dan sebagainya.

Mereka tidak akan ada perasaan malu kerana mereka adalah ‘toman’ atau sengkek tadi. Sikapnya, perangainya dan peradaban mereka adalah sengkek atau ‘toman’ tadi. Apabila tidak bersetuju dengan pengkritik mereka si pengkritik akan dibinasakan dan dihukum mengikut hawa dan nafsu mereka sahaja. Yang salah menjadi benar dan yang benar menjadi salah kepada mereka. Mereka lebih cenderung untuk melaksanakan hukum rimba. Mereka yang dalam kumpulan ‘toman’ ini tidak ada 'gentlemanship'nya.

Tetapi di sebaliknya yang mempunyai budaya atau berdarah raja tidak seperti ‘Toman’ tadi. Tunku Abdul Rahman misalnya tetap bertaraf dan berdarah raja walaupun beliau semasa dalam persaraan nya tidak mempunyai apa-apa harta yang diambilnya semasa memimpin negara. Hidup nya kembali seperti orang biasa dan beliau tidak merasa rendah diri walaupun beliau duduk dalam rumah yang usang yang saya selalu bertandang semasa beliau masih hidup dahulu. Tunku tidak merasa rendah diri kerana beliau terdidik dengan baik oleh keluarga beliau. Beliau tidak mempunyai perasaan rendah diri kerana beliau tahu beliau telah berbuat banyak jasa kepada rakyat jelata dan generasi beliau.

Tunku tidak menggunakan jet-jet peribadi atau eksekutif yang mahal-mahal tetapi beliau tetap tinggi di mata masyarakat dan rakyat jelata. Pakaian beliau simple, makanan beliau pun simple dan mudah dan cara hidup nya amat sederhana seperti rakyat biasa. Kata perpatah 'ular itu jika menyusur akar tidak akan hilang bisanya'.

Semasa mangkatnya keluarga beliau dihujani oleh ucapan-ucapan takziah dari seluruh dunia tanpa henti-henti. Beliau tetap segar dalam ingatan pemimpin seluruh dunia, malah semasa hayatnya Ratu Elizabeth mengambil kesempatan untuk menziarahi beliau secara peribadi semasa ratu itu melawat negara kita. Begitu tinggi sekali pandangan Ratu itu terhadap Tunku.

Apa yang penting adalah nilai hakiki seseorang itu. Apa pun keadaan beliau, Tunku tetap merupakan seorang yang amat besar dalam sejarah negara dan dunia. Beliau tidak perlu menaiki jet-jet eksekutif semasa persaraan beliau dan tidak ada rekod pergi membeli belah secara besar-besaran walaupun beliau adalah pemimpin negara dan berdarah raja pula. Maka sesuai lah dengan perbilangan jika seseorang itu bermaruah dan bernilai tinggi ia tetap dipandang tinggi dan dihormati. Maka perbilangan tadi, jika ia berdarah raja walaupun hidup secara sederhana beliau tetap raja.

Malah ramai pemimpin dunia yang mempunyai moral yang tinggi tetapi cara hidupnya seperti rakyat biasa. Perdana Menteri Singapura dan Presiden Indonesia misalnya hanya menggunakan penerbangan negaranya sahaja dalam perjalanan mereka keluar negara untuk melakukan lawatan rasmi.

Kini di negara kita pemimpin utama kita menggunakan jet-jet mewah untuk terbang seantero dunia. Malahan bukan beliau sahaja yang menggunakan jet-jet mewah, isteri pun menggunakan jet-jet mewah diatas belanja rakyat jelata. Pemimpin seperti ini tidak dapat menerima hakikat bahawa nilai seseorang pemimpin itu bukan kepada jet nya atau pakaian dan rumah yang seperti istana, tetapi ia terletak kepada sifat dan mentaliti seseorang itu.

Naiklah jet-jet semewah mana pun orang ramai tetap melihat dari segi nilai dan moral seseorang itu. Seseorang yang di letakkan bukan pada tempatnya sentiasa akan melakukan dan berlagak sumbang. Mereka ini ibarat 'sikudung mendapat cincin atau siberuk mendapat bunga'.

Maka betul lah seperti perbilangan lama yang saya sebut itu, jika ‘toman’ kita letakkan mahkota di kepala mereka pun ia tetap ‘toman’.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.