KETIKA Putrajaya berusaha menangkis dakwaan mengenai salah guna dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB), seorang ahli Umno pula meminta penjelasan mengapa isteri “Malaysian Official 1” perlu memulangkan barang kemas yang didakwa dibeli menggunakan wang yang dirompak daripada dana pelaburan negara itu.
Tun Faisal Ismail Aziz, seorang ahli panel pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) berkata tiada bukti yang isteri MO1 ada menerima atau memiliki barang kemas yang didedahkan dalam saman sivil yang difailkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).
“Barangan kemas yang didakwa diterima oleh isteri MO1 hanya sekadar cerita dalam aduan pengadu, tiada bukti ia dibeli menggunakan wang 1MDB yang didakwa dicuri, tiada bukti ia diserahkan kepada isteri MO1 dan tiada bukti kesemua set barangan kemas ini disimpan isteri MO1.
“Ia juga tidak disenaraikan sebagai aset yang hendak diambil alih oleh DOJ.
“Segala ini membuktikan DOJ sendiri tidak pasti mengenai kebenaran cerita pengadu berkenaan barangan kemas ini dan dakwaan terhadap isteri MO1.” kata Faisal dalam catatan Facebooknya awal hari ini.
Saman terbaru DoJ yang difailkan pada 15 Jun itu mengatakan hampir AS$30 juta (RM128.7 juta) wang yang didakwa dirompak daripada 1MDB digunakan untuk membeli barang kemas, termasuklah set rantai berlian merah jambu 22 karat bernilai AS$27.3 juta untuk isteri MO1 pada 2013.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan sebelum ini mengesahkan MO1 sebagai Perdana Menteri Najib Razak. Saman DoJ itu tidak menyenaraikan rantai berlian merah jambu dalam senarai barangan yang ingin dirampas atau menyebut nama isteri MO1 secara langsung.
Wakil rakyat pembangkang dan peguam juga mendesak isteri MO1 supaya mengembalikan barang kemas itu.
Tun Faisal berkata ia berbeza dengan kes model terkenal Australia Miranda Kerr, yang menerima barang kemas daripada ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low kerana ia dinyatakan dalam saman DoJ itu.
Kerr dilaporkan memindahkan barang kemas bernilai AS$8.1 juta (RM35 juta) daripada peti simpanannya di Los Angeles kepada agensi kerajaan Jumaat lepas.
Barang kemas itu termasuklah berlian berbentuk hati 11.72 karat bernilai AS$1.29 juta dan loket berlian 8.88 karat bernilai AS$3.8 juta didakwa dibeli Low dengan wang yang dirompak daripada 1MDB.
DoJ sudah memfailkan tiga saman untuk merampas aset, termasuklah barang kemas yang diterima Kerr berjumlah sehingga AS$4.5 bilion yang didakwa wang rompakan daripada dana pelaburan negara itu.
Tun Faisal juga mempersoalkan mengapa Kerr menyerahkan kembali barang kemasnya kepada DoJ sedangkan agensi itu masih belum mempunyai hak penjagaan kepada aset itu.
“Jika mengikut proses perundangan, lebih wajar Kerr menyimpan dahulu barangan kemas tersebut atau mungkin lebih wajar memulangkannya kepada Jho Low sehingga DOJ mendapat perintah mahkamah dan mendapat hak untuk menyimpan dan mengambil alih barangan kemas ini.
“Tidak menjadi kesalahan jika Miranda Kerr mahu ‘memulang’kan set barang kemas berlian yang diberikan oleh Jho Low kepadanya. Cuma kenapa perlu ‘memulangkan’ atau menyerahkannya kepada DOJ?
“Belum terbukti barang kemas tersebut dibeli menggunakan wang yang dicuri dari 1MDB atau hasil dari kegiatan jenayah atau penggubahan wang haram. DOJ perlu membuktikan kes mereka dan memenangi perintah mahkamah terlebih dahulu sebelum mengambil alih sebarang aset yang disenaraikan dalam saman sivil ke atas Kumpulan Hotel Viceroy,” katanya.
Low dilaporkan memiliki pegangan dalam kumpulan hotel itu.
Tun Faisal turut mempersoalkan sekiranya Kerr berpendapat yang DoJ akan menjual barang kemas dan memberikan hasil jualan kepada 1MDB dan rakyat Malaysia, walaupun dana pelaburan negara itu berulang kali mengatakan yang dananya tidak pernah dirompak.
Katanya, berdasarkan saman DoJ terhadap Kumpulan Hotel Viceroy itu, dana yang didakwa disalah guna untuk membeli barang kemas itu tidak diuruskan 1MDB tetapi pihak berkaitan dengan syarikat Aabar dan International Petroleum Investment Company (IPIC) di Abu Dhabi.
– https://www.themalaysianinsight.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.