KES manipulasi (atau menipu la si?) agensi kerajaan oleh pihak-pihak yang berkabel besar dan akrab dengan kepemimpinan negara nampaknya semakin menjadi-jadi.
Najib membahagikan zakat tapi siapa pembayarnya? |
Yang terbaru dan sensasi adalah silap mata kehilangan hak milik tiga bidang tanah Felda di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM270 juta. Nilai setelah dibangunkan dianggar melebihi RM1 bilion.
[Komen “Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]
Sebelum itu kita didedahkan kepada skandal 1MDB, penjualan tanah TRX kepada Tabung Haji, pemberian dan pembatalan kontrak/konsesi Bandar Malaysia kepada syarikat negeri China, kemerosotan RM160 bilion rizab antarabangsa Bank Negara 2013-15, kerugian besar badan pelaburan awam dalam IPO Felda Global, pembelian hotel melebihi harga pasaran oleh Felda Investment Corporation (FIC), pembelian mahal ladang Eagle High milik (Tan Sri) Peter Sondakh di Indonesia, penggunaan duit Mara untuk menaja pasukan bola Kelantan, percubaan “memeras” jemaah umrah dan memungut GST melalui sistem IMAMS, penukaran status rumah Bumiputera di Johor dan banyak lagi.
Dalam hampir semua kes ini, pelaku mempunyai kaitan dan perhubungan luar biasa dengan Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak.
Ambil contoh siri skandal terbaru yang melanda Felda. Boleh dikatakan semuanya dikesan berlaku ketika (Tan Sri) Mohd Isa Abdul Samad menjadi Pengerusi Felda dan Felda Global Ventures (FGV).
Dari awal lagi ramai terkejut dan tidak setuju dengan pelantikan Isa kerana sebelum Najib naik menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri pada tahun 2009, Isa ini adalah orang buangan Umno.
Pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi dia didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno dan digantung selama dua penggal. Puncanya duit.
Dia didapati bersalah terlibat dengan politik wang. Tetapi apabila Najib jadi Presiden Umno dan Perdana Menteri pada April 2009, Isa dipulihkan dan dimartabatkan semula.
Dalam masa lima bulan Najib jadi Perdana Menteri, Isa dipilih sebagai calon Umno/Barisan dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan dan menang.
Pada tahun 2012 dia dilantik Pengerusi Felda dan terus menjadi penyokong tegar Najib dalam penswastaan aset Felda melalui tawaran permulaan awam (IPO) FGV. Hadiahnya adalah Isa mendapat gaji lumayan, pemilikan saham dan dipilih bertanding kerusi Parlimen Jempol dalam Pilihan Raya Umum 2013.
Isa dan isteri: pasangan “power” dalam politik Umno |
Asal-usul Najib dan Isa menjadi ibarat aur dengan tebing, isi dengan kuku, adik dengan abang sudah menjadi bahan spekulasi dan andaian sejak berdekad-dekad lamanya.
Begitu akrab Najib dan Isa sehingga penangkapan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes pembelian mahal dua buah hotel oleh FIC tidak menjejaskan ketaasuban Najib terhadap Isa.
Sebaik sahaja Isa “diberhentikan” daripada Felda akibat tangkapan itu, Najib melantik beliau sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAD).
Seorang rakan golf Najib memberitahu saya baru-baru ini yang Isa mungkin tidak akan didakwa dalam kes pembelian dua buah hotel itu. Alasannya dia sudah cukup menderita dan malu akibat tangkapan dan tahanan reman itu, kata kawan Najib itu.
Malang Felda
Dalam kes terbaru “penyongelapan” tanah Felda itu pun, ada tanda bahawa individu atau individu-individu terbabit mempunyai pertalian dan pautan dengan Perdana Menteri.
Dalam tampalan (posting) Facebook saya pada 23 Disember lepas, saya bertanya: “Boleh sesiapa beri pencerahan mengenai kaitan berita dan gambar ini dengan skandal kehilangan hak milik tanah Felda Jalan Semarak.
“Adakah ‘construction company boss’ Abdul Rahman Soltan dalam berita ini sama dengan Abd Rahman bin Soltan, Director kepada Kuala Lumpur Vertical City Sdn Bhd, company number 1067079?
“Kalau ia, apakah syarikat ini ada kaitan dengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di atas tanah Felda Jalan Semarak itu?”
“Mohon penjelasan. Kalau tersilap tanya mohon maaf.”
Pastinyalah pihak-pihak yang boleh atau mampu menjawab soalan-soalan saya itu tidak akan menjawabnya. Manakala laskar siber Umno/BN pula akan cuba mengalih perhatian daripada isu pokok.
Sama ada mereka pun dalam kegelapan macam saya atau mereka tahu tetapi terpaksa buat-buat tidak tahu demi menjaga periuk nasi.
Dalam pada itu seorang sahabat Facebook menarik perhatian saya kepada salinan sekeping gambar yang didakwa dari laman Instagram Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Datuk Seri) Azalina Othman yang menggunakan pengenalan “azalinaothmans”.
Tajuk tampalan Instagram “azalinaothmans” itu membawa keterangan gambar berbunyi “FGVMafia kat London waitin for Chairman FGV.”
Dalam bahasa Melayu formal “Mafia FGV di London menunggu Pengerusi FGV.”
Seperti kita ketahui, Mafia adalah kongsi gelap Itali yang membina empayar jenayah terbesar dunia di Amerika Syarikat seperti digambarkan dalam siri filem “Godfather”. Dan Pengerusi FGV yang dimaksudkan itu pastinyalah Isa.
Dalam gambar itu (lihat di bawah) ada lima orang. Yang paling terkenal adalah Azalina. Tiga daripada mereka nampak seperti menghisap cerut – termasuk Azalina.
Tiga duduk atas bangku dan dua berdiri berpeluk bahu. Rakan Facebook saya itu memperkenalkan salah seorang yang berdiri itu sebagai Abdul Rahman Soltan.
Kalau gambar itu asli – nampak asli – sebab gambar peti surat Royal Mail pun ada – maka nyatalah watak Abdul Rahman Soltan ini berlegar dalam sfera politik peringkat tinggi.
Dan tidak menghairankan juga kalau “construction company boss Abdul Rahman Soltan” yang berkejar ke Pekan pada 26 Jun 2016 untuk memberikan zakat RM100,000 untuk diagihkan oleh Najib itu adalah orang yang sama seperti dalam sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Berkenaan Najib pula, kita semua tahu dia adalah mentor atau bapa angkat Felda. Kita juga tahu bahawa salah satu kepakaran Najib adalah menjual atau memindahkan hak milik tanah kerajaan.
Contoh klasik kepakaran Najib dalam kegiatan ini adalah penjualan murah tanah kerajaan di Jalan Tun Razak kepada 1MDB untuk dijadikan projek TREX (Tun Razak Exchange) dan tapak pangkalan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi, juga kepada 1MDB.
Baru-baru ini dilaporkan pula yang kerajaan telah menjual dua bidang tanah 1MDB di Pelabuhan Klang dan Pulau Pinang kepada syarikat negara China untuk mencari duit melangsaikan hutang AS$600 juta (kira-kira RM2.5 bilion) kepada syarikat kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC).
1MDB atau lebih tepat Kementerian Kewangan terpaksa bayar sejumlah AS$1.2 bilion (kira-kira RM5 bilion) kepada IPIC tanpa memperoleh apa-apa setelah bayaran asal yang sepatutnya digunakan untuk membiayai usaha sama dengan IPIC disonglap oleh Jho Low dan sekutu Arabnya.
Duit songlap inilah yang sebahagiannya – RM2.6 bilion – dipercayai masuk akaun peribadi Najib pada tahun 2012 dan yang digunakan oleh Jho Low serta anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz, untuk membeli aset dan berjoli di Amerika.
Harta dan pelaburan ini kini dibekukan oleh mahkamah Amerika sebagai sebahagian daripada inisiatif mendapatkan balik harta negara yang dicuri oleh kerajaan pencuri (Kleptocracy Asset Recovery Initiative) atau ringkasnya KARI.
Adalah tidak menghairankan langsung kalau banyak lagi tanah kerajaan telah dan akan dijual oleh kerajaan kleptokrasi sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ini memandangkan kemungkinan Umno/BN kalah.
Tipu Helah
Kesimpulannya, adalah tidak memeranjatkan kalau Lembaga Pengarah Felda tidak tahu menahu mengenai pemindahan tiga keping tanah di Jalan Semarak itu atau resolusi palsu untuk mengeluarkan surat kuasa wakil (power of attorney) kepada pihak luar.
Soalnya, kalau projek bandar raya tegak menikam langit ini dimajukan dan dimiliki oleh FGV, mengapakah kepentingan Felda hendak dinafikan melainkan ada niat buruk?
Katakanlah Felda tidak ada duit untuk memodali projek FGV itu, tiga keping tanah tersebut boleh ditukar menjadi saham Felda di dalamnya.
Melainkanlah matlamat tersirat penubuhan FGV adalah untuk mengambil alih secara adil dan tidak adil aset-aset Felda bagi tujuan komersial semata-mata.
Turut menjadi tanda tanya adalah, kalau “pemindahan haram” tanah tersebut telah disedari sejak awal tahun ini seperti dinyatakan oleh Pengerusi Felda, (Tan Sri) Shahrir Abdul Samad, mengapakah beliau menunggu sehingga Berita Harian mendedahkan skandal itu untuk bersuara?
Mustahil BH boleh terhidu atau memperoleh maklumat bagi mengesahkan penyelewengan itu jikalau tidak ada pihak atau pihak-pihak yang mengetahui membisikkannya kepada wartawan akhbar itu.
Untuk itu kita perlu mengucap syabas dan terima kasih kepada “suara garau” (deep throat) yang menjadi sumber pendedahan BH tersebut.
Saya amat yakin lebih ramai “suara garau” ak
an memberi maklumat mengenai penyelewengan awam dengan semakin goyangnya Umno/BN – sama ada kerana mereka hendak mencegah kemungkaran atau takut dituduh bersubahat dan bersekongkol kemudian hari.
– http://kadirjasin.blogspot.my/2
yuk coba keberuntugan anda di sini
ReplyDeletedi permaianan tebak angka
http://www.togelpelangi.com/