Ini semua sudah tahu. Kisah sedih.
Kita semua sedang susah, sengsara, derita, perit. Kita maksudnya kita semua. Tidak ada kecualian. Bezanya cuma tahap kesusahan, kesengsaraan, penderitaan, keperitan yang ditanggung. Kita susah, sengsara, derita, perit, dan sedih. Ada orang lebih susah, lebih sengsara, lebih derita, lebih perit, lebih sedih.
Namun hakikatnya semua sedang merasakannya. Akibat ekonomi yang dihentam teruk oleh wabak Covid-19.
Tekanan yang dialami sekarang – masa PKB 2.0 ini – lebih keras berbanding PKP dulu ketika kita mula-mula diperkenalkan dengannya Mac tahun lalu. Ketika itu ada sikit simpanan, yang ada kerja masih bekerja walau dari rumah. Kesimpulannya ada sumber sedikit sebanyak yang dibawa daripada waktu sebelum wabak melanda.
Sekarang – ada yang sudah tidak ada simpanan, ada yang sudah tidak ada kerja. Yang ada sumber terkumpul sudah kekeringan.
Lalu tekanan masa kini terlalu hebat. Kata pakar melanjutkan PKP dengan sekatan lebih ketat akan mengundang “bencana”. Itu kita tahu tanpa perlu orang bijak pandai beritahu.
Sekarang kita tahu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Perdagangan dan Pembangunan atau UNCTAD menyaksikan kejatuhan ketara FDI bagi 2020 sebanyak 68% ke USD2.5 billion.
FDI ialah pengaliran masuk pelaburan langsung asing. Itu ramai tahu. Berdasarkan laporan itu, kesimpulannya ialah pelabur asing sudah tawar hati untuk melabur. Itu sebab FDI jatuh ketara.
Jadi ke mana mereka pergi melabur? Negara lain di Asia Tenggara pun menyaksikan penurunan FDI.
FDI Singapura jatuh 37% kepada USD58 billion. FDI Indonesia jatuh 24% kepada USD18 billion. FDI Vietnam jatuh 10% kepada USD14 billion. FDI Thailand jatuh 50% kepada USD11.4 billion.
Tetapi FDI Filipina naik 29% kepada USD 6.4 billion, dan seperti yang dikatakan tadi FDI Malaysia jatuh 68% kepada USD2.5 billion.
Ertinya kita tercorot dalam senarai negara Asean yang dibentang. Ini perangkaan PBB, bukan NGO yang “iri hati” dan suka “memperlecehkan” negara.
Pelbagai pihak mahu penjelasan segera Menteri Kanan (Ekonomi) Azmin Ali. Lebih penting, mahu tahu apa akan dilakukan kerajaan untuk menangani masalah kejatuhan FDI.
Bagi Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, seperti dilapor FMT, “nampaknya kepercayaan dan keyakinan pelabur masih belum pulih terhadap Malaysia setelah berlakunya perubahan kerajaan pada 2018”.
Malaysia pernah atau sentiasa berada pada kedudukan teratas dan dikenali sebagai destinasi mesra dan tumpuan utama pelabur asing. Tidak lagilah jika diambil kira laporan UNCTAD. Itu pun cakap apa yang orang dah tahu.
Ketika artikel ini ditulis belum ada respon daripada Azmin, mahupun pemimpin yang melantik beliau sebgai menteri kanan (ekonomi). Apa pun rasanya boleh jangka apa yang dijawab kelak.
Mungkin ketika anda baca artikel ini sudah ada penjelasan dan huraian akan langkah yang akan diambil.
Negara lain (malah seluruh dunia) dilanda wabak. Indonesia dilanda dengan lebih teruk daripada kita. Sekali lagi saya cakap perkara yang semua orang sudah tahu.
Memetik catatan Facebook seorang kawan lama: “Kita semua dah tua. Boleh berfikir dengan bijak. Rakyat bimbang kes Covid tak turun-turun. Mana yang gagal, terasa diri gagal ataupun sudah tidak mampu untuk urus, elok berundur. Jangan tunggu lama-lama.”
Setuju benar saya akan kata-kata kawan saya itu walaupun dia lebih muda daripada saya. Catatan itu khusus mengenai Covid-19. Tetapi saya kira boleh juga dilihat daripada sudut kejatuhan ketara FDI.
Masalahnya ialah tidak ramai yang gagal berani mengaku gagal. Tidak ramai yang terasa diri gagal – sebaliknya rasa tidak gagal, malah hebat serta berjaya.
Tidak ramai mahu mengaku mereka sudah tidak mampu untuk urus. Lantas semua tunggu lama-lama. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.