`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, January 29, 2021

Jakim wujudkan QR Kod SmartHalal buat pengguna semak status halal

 

Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, semua maklumat yang diperoleh melalui aplikasi SmartHalal diintegrasikan dengan pangkalan data MYeHALAL yang disediakan Jakim secara langsung. (Gambar smarthalal.com.my)

PUTRAJAYA: Orang ramai boleh mengetahui status halal sesuatu produk dan perkhidmatan di pasaran tempatan dengan lebih cepat serta tepat menerusi penggunaan QR Kod aplikasi SmartHalal yang sedang dibangunkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kewujudan QR kod itu juga memudahkan pemain industri memperoleh pelbagai informasi berkaitan pensijilan halal terkini, selain mampu meningkatkan permohonan dan pemilikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Katanya, QR Kod berkenaan dihasilkan menerusi kerjasama strategik Jawatankuasa Bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Jakim dan Jabatan Agama Islam negeri yang seterusnya meletakkan aplikasi ini sebagai hak milik penuh kerajaan.

“Ini adalah projek pertama aplikasi telefon pintar berkaitan halal di bawah kerajaan yang membabitkan pembangunan teknologi ke arah gaya hidup digital.

“Aplikasi SmartHalal ini dibangunkan berdasarkan sistem MYeHALAL, iaitu sistem bagi memperoleh SPHM yang dibangunkan sejak 2007, di mana aplikasi ini disediakan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan lokasi serta maklumat tentang pembekal yang diiktiraf dan diberi pensijilan halal Malaysia,” katanya ketika mengumumkan inisiatif QR Kod SmartHalal secara maya.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, semua maklumat yang diperoleh melalui aplikasi SmartHalal diintegrasikan dengan pangkalan data MYeHALAL yang disediakan Jakim secara langsung.

Beliau berkata, QR Kod yang baru dibangunkan mempunyai pelbagai maklumat dan ciri-ciri boleh diguna dalam aplikasi itu.

“Antaranya, pengumuman terkini berkenaan industri halal, carian lokasi melalui Google Map, Waze dan carian berdasarkan kategori serta skim seperti nama syarikat, premis makanan, produk farmaseutikal, barang gunaan, kosmetik dan dandanan diri, logistik, makanan dan minuman, rumah sembelihan, pengilangan kontrak dan terkini peranti perubatan.

“Jakim akan terus mengemas kini dan menambah baik sistem terbabit dari semasa ke semasa agar ia sentiasa relevan dan mengikut perkembangan semasa untuk digunakan semua pihak.”

Katanya, pengguna perlu memuat turun aplikasi SmartHalal terlebih dahulu sebelum boleh menggunakan sistem QR Kod berkenaan.

“Pengguna juga boleh merujuk pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum menyebarkan sebarang isu berkaitan halal, bagi mengelak salah faham dan menimbulkan keresahan serta menjejaskan keharmonian hidup antara kaum di negara ini.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.