`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, February 8, 2021

102 sekolah menengah di Sabah mencatatkan kes positif Covid-19, kata Masidi

 

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun berkata semua sekolah yang ditutup telah dibuka semula.

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun berkata, sebanyak 102 daripada 221 sekolah menengah di Sabah disahkan mempunyai kes Covid-19 sejak 16 Jan hingga hari ini.

Beliau berkata, daripada jumlah sekolah yang disahkan mempunyai kes Covid-19 berkenaan, sebanyak lapan terpaksa ditutup iaitu kesemuanya di Sandakan.

Bagaimanapun, katanya, sekolah-sekolah terbabit telah mula beroperasi semula, baru-baru ini, selepas tiada lagi jangkitan baharu dilaporkan.

“Sekolah-sekolah yang ditutup di Sandakan sebelum ini ialah di Sekolah Menengah (SM) St Mary, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Sapi, SMK Elopura Bestari, SMK Perempuan, SMK Sandakan, Kolej Vokasional Sandakan, SM St Cecelia dan SMK Agama Tun Juhar.

“Pecahan kes mengikut sekolah terbabit pula ialah satu kes membabitkan guru di St Mary; dua kes masing-masing membabitkan seorang guru dan pelajar di SMK Batu Sapi; SMK Elopura Bestari (dua pelajar, lapan guru); masing-masing seorang guru di SMK Sandakan, Kolej Vokasional Sandakan, SM Cecelia dan SMK Agama Tun Juhar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media perkembangan Covid-19 di Sabah, di sini, hari ini.

Sementara itu, Masidi berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan membuat penelitian dan penilaian bagi setiap kes yang dilaporkan di sekolah sebelum membuat keputusan sama ada ianya akan ditutup atau tidak.

Katanya, sekiranya terdapat bukti yang menunjukkan penularan virus menyebabkan terjadinya kluster di sekolah, pegawai kesihatan di daerah akan membuat keputusan untuk menutup sekolah dan menghentikan aktiviti persekolahan selama 10 hari bagi memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19.

“Penutupan sekolah juga membolehkan kontak-kontak rapat kepada kes dapat disaring dengan lebih berkesan.

“Sekiranya pengesanan kes dapat dilakukan dengan awal sebelum terjadinya kluster, kontak-kontak rapat kepada kes akan disaring dan diasingkan dalam kuarantin.

“Aktiviti persekolahan boleh diteruskan dengan pengamalan SOP (prosedur operasi standard) yang ketat dan pemantauan simptom dalam kalangan pelajar-pelajar dan guru,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.