Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin tidak menamakan timbalannya ketika mengumumkan Jemaah Menterinya pada 9 Mac 2020. Dalam lain perkataan, jawatan timbalan perdana menteri tidak diisi. Dibiar kosong.
Mengapa? Dan tidakkah itu boleh mendatangkan komplikasi kelak? Hanya perdana menteri ada jawapannya.
Tetapi, adakah langkah itu menyalahi undang-undang dan peraturan? Tidak. Kerana jawatan timbalan perdana menteri tidak disebut dalam Perlembagaan. Jawatan timbalan perdana menteri juga tidak disenarai dalam Jemaah Menteri.
Maka penyandang jawatan itu perlu “diberi” portfolio – dilantik menteri di kementerian tertentu. Ini kata pakar dan penganalisis bagi “menjustifikasikan” kedudukannya dalam Jemaah Menteri.
Pun begitu, jawatan timbalan perdana menteri ialah jawatan politik kedua tertinggi dalam kerajaan. Menurut penganalisis politik, walaupun jawatan timbalan perdana menteri wujud atas dasar konvensyen dan bukan termaktub di bawah undang-undang dan Perlembagaan, ia tetap dianggap penting, besar dan berkuasa.
Bersama kerusi itu datangnya gelaran “Yang Amat Berhormat” atau YAB (selain timbalan perdana menteri, gelaran itu diberi kepada perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri).
Sepertimana perdana menteri, timbalan perdana menteri turut mendapat keistimewaan, antaranya kawalan keselamatan dan polis pengiring bermotosikal (outrider) dan kediaman rasmi. Maksudnya, hampir sama seperti perdana menteri.
Sehingga kini, Malaysia mempunyai hanya satu jawatan timbalan perdana menteri pada sesuatu waktu.
Menurut sejarah, konvensyen melantik timbalan perdana menteri dimulakan Tunku Abdul Rahman supaya ada seorang pemimpin kanan bersama beliau ketika usaha menuntut kemerdekaan dan kemudiannya membantu beliau melaksanakan tugas pentadbiran negara.
Timbalan perdana menteri juga memangku tugas perdana menteri ketika pemimpin tertinggi negara bercuti, cuti sakit atau pada waktu tertentu.
Berdasarkan itu, aspek paling penting ialah timbalan perdana menteri dilihat sebagai pengganti perdana menteri. Petunjuk siapa bakal perdana menteri. Timbalan perdana menteri disifatkan kesinambungan kuasa dan penggantian jawatan perdana menteri.
Lalu apabila Tunku Abdul Rahman meletak jawatan pada 1970, Allahyarham digantikan Timbalannya, Abdul Razak Hussein.
Dan apabila Razak meninggal dunia pada 1976, Timbalannya, Hussein Onn pula dilantik sebagai perdana menteri. Hussein melepaskan jawatan pada 1981, Dr Mahathir Mohamad pula mengambil alih.
Mahathir berundur pada 2003 dan digantikan Abdullah Ahmad Badawi. Abdullah meletak jawatan pada 2003 dan jawatannya disandang Najib Razak.
Najib bagaimanapun hilang jawatan perdana menteri apabila BN pimpinannya tumbang dalam PRU14 pada 2018. Dengan itu jawatan perdana menteri kembali kepada Mahathir, selaku ketua Pakatan Harapan yang memenangi pilihan raya itu. Beliau melantik Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya.
Namun, apabila Mahathir meletak jawatan tahun lalu, Wan Azizah tidak dilantik menggantikannya sebagai perdana menteri.
Dalam memoirnya berjudul “My Story: Justice in the Wilderness”, Tommy Thomas, peguam negara semasa pemerintahan PH mendakwa selepas Mahathir meletak jawatan pada Februari 2020, peruntukan Perlembagaan membolehkan Wan Azizah selaku timbalan perdana menteri dilantik sebagai pemangku perdana menteri.
Ini, kata Thomas, bagi membolehkan kerajaan PH ketika itu menamakan calon baru untuk menerajui kerajaan.
Menurut bekas peguam negara itu, “Yang di-Pertuan Agong bertindak mengikut Perlembagaan dan mahu melantik Wan Azizah sebagai pemangku perdana menteri atau perdana menteri interim”.
“Namun”, kata beliau, “Mahathir mencalonkan diri” untuk jawatan sementara itu, walaupun sudah berundur sebagai perdana menteri.
Perlu diingatkan Mahathir dituduh pelbagai pihak bertanggungjawab menumbangkan kerajaan PH dipimpinnya sendiri akibat tindakannya meletak jawatan – sesuatu yang beliau putuskan tanpa berbincang atau memberitahu pemimpin lain dalam kerajaannya.
Ada juga tuduhan Mahathir terbabit dalam perancangan “Langkah Sheraton” supaya pentadbiran baru dibentuk bagi memerintah negara tanpa pembabitan Anwar Ibrahim (orang sepatutnya mewarisi jawatan perdana menteri menurut persetujuan Mahathir dan PH) dan DAP.
Namun, Mahathir dikatakan “ditikam dari belakang” oleh Muhyiddin dan Azmin Ali yang kemudiannya membentuk kerajaan Perikatan Nasional dengan Muhyiddin sebagai perdana menteri.
Mahathir beberapa kali mempertahankan tindakannya meletak jawatan dan juga kerap menuduh Muhyiddin “mengkhianati” beliau.
Berhubung dakwaan Thomas dalam bukunya, Mahathir mengambil masa tiga hari sebelum memberi respons panjang lebar.
Beliau memulakan penjelasan dengan menyatakan dirinya terkejut membaca petikan buku Thomas dan menyifatkannya “salah seorang peguam yang benci saya”. Pelantikan Thomas sebagai peguam negara disyorkan Mahathir sendiri.
Mahathir mendakwa Thomas tidak tahu “apa-apa langsung berkenaan peletakan jawatan saya”.
Menurut beliau, “selepas menerima peletakan jawatan saya dengan berat hati, Agong cadangkan saya sebagai perdana menteri interim. Nama Wan Azizah tidak pernah disebut oleh Agong sebagai perdana menteri sementara”.
Mahathir mendakwa sebab beliau meletak jawatan kerana partinya sendiri – PPBM menolak nasihatnya untuk tidak keluar dari PH.
”Nyata saya telah hilang keyakinan PPBM dan oleh itu saya harus letak jawatan sebagai pengerusi. Dan jika saya letak jawatan sebagai pengerusi, saya juga tidak lagi mewakili parti dalam PH. Jadi saya perlu juga letak jawatan sebagai perdana menteri”.
Bagi Mahathir, ketika itu PH “telah jatuh rentetan pengumuman Muhyiddin mengeluarkan PPBM dari PH. Wan Azizah sebagai timbalan perdana menteri tidak boleh mengambil alih jawatan kerana PH bukan lagi kerajaan”.
Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang bagaimanapun membuat kesimpulan berikut: “Amat malang apabila Mahathir masih enggan bertanggungjawab atas kesilapan besar beliau (iaitu) meletak jawatan sebagai perdana menteri, sedangkan beliau masih mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen daripada PH, Warisan dan PPBM”.
Persoalannya – adakah kerajaan PH sudah jatuh semasa Mahathir letak jawatan? Atau kerajaan PH jatuh kerana Mahathir meletak jawatan ?
Itu masih ditanya dan akan terus ditanya. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.