PETALING JAYA: Tiga adik-beradik kepada seorang pegawai tinggi tentera Bangladesh, yang disabitkan pembunuhan ahli politik, melarikan diri dari negara itu dengan abang sulung mereka kini memiliki sebuah rumah di Malaysia, dakwa laporan siasatan Al Jazeera.
Laporan terbaru Al Jazeera itu turut mendedahkan bagaimana adik-beradik itu, termasuk Jeneral Aziz Ahmed, didakwa bersekongkol dengan pasukan keselamatan di sana dan meraih manfaat daripada hubungannya dengan Perdana Menteri, Sheikh Hasina.
Aziz adalah ketua staf tentera negara itu sejak 2018.
Menurut Unit Penyiasatan Al-Jazeera (I-Unit), yang mempunyai bukti dokumentari, seorang daripada tiga beradik itu melarikan diri ke Malaysia selepas disabitkan bersalah dan memiliki sebuah rumah di pinggir bandar Kuala Lumpur. Bagaimanapun, tidak dinyatakan jika dia masih berada di negara ini.
Dalam episod yang dijadual disiarkan di seluruh dunia pada 4 pagi esok, pasukan itu mengesan abang sulung, Anis Ahmed selepas mengekori adiknya, Aziz ke Malaysia dari Singapura.
Anis disabitkan bersalah atas pembunuhan Mustafa Rahman, seteru politik Sheikh Hasina, pada 1996 di Dhaka bersama dua saudaranya yang lain.
Dia dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada 2004 dan gagal dalam rayuan pada 2007, tahun sama dia membeli sebuah hartanah di Kuala Lumpur.
Seorang lagi saudara lelakinya, Josef dihukum penjara 20 tahun dan baru-baru ini diberi pengampunan luar biasa presiden. I-Unit berjaya memperoleh rakaman telefon rahsia, di mana Aziz menerangkan bagaimana adik-beradiknya bertindak sebagai anggota keselamatan peribadi Sheikh Hasina pada 1980-an dan 1990-an.
Episod itu turut mendedahkan bagaimana seorang lagi saudara kepada ketua tentera Bangladesh itu, Aziz berbangga dengan kuasanya boleh menggunakan polis dan unit separa tentera untuk menculik pesaingnya dan mendapat rasuah wang berjuta-juta.
“Dokumen diperolehi I-Unit juga menunjukkan ketua tentera itu membantu Haris Ahmed, yang disabitkan bersalah membunuh, melarikan diri ke Eropah dan mengelakkan pengadilan,” lapor Al Jazeera.
Pasukan pengawasan I-Unit mendapati ketika kunjungan Aziz ke Kuala Lumpur, mereka mengadakan perjumpaan di rumah itu, yang menurut rekod dimiliki Anis.
“Ketika perjumpaan pada 2019 itu, mereka dibawa menaiki kenderaan diplomat dan mengunjungi Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur,” lapor I-Unit dalam episod itu.
“Rayuannya terhadap sabitannya ditolak pada 2007 dan dia diperintahkan mahkamah untuk menyerah diri kepada polis kerana dia dibebaskan dengan jaminan ketika itu. Tetapi, dia tidak pernah menyerah diri dan rekod hartanah menunjukkan dia membeli rumah pada tahun sama di Malaysia.”
Siasatan itu turut menjejaki Haris yang melarikan diri ke Eropah dan hidup dengan identiti palsu.
“Dalam rakaman penyamaran, dia mendedahkan bagaimana meraih keuntungan besar daripada rasuah untuk kontrak ketenteraan atau jawatan kanan polis Bangladesh. Ia adalah sistem rasuah melibatkan pegawai kanan dalam kalangan polis dan kerajaan negara itu,” menurut laporan berkenaan.
Haris mendakwa beliau mendapat sokongan penuh ahli politik yang pernah dilindunginya.
Siasatan itu turut menjelaskan bagaimana jeneral itu membantu adik-beradiknya membeli hartanah dan perniagaan di luar negara, sambil membawa wang merentas sempadan Eropah menggunakan pasport palsu.
Dalam episod itu, jeneral terbabit turut menerangkan betapa kuatnya ikatan taat setia antara adik-beradiknya dan pemimpin Bangladesh.
Siasatan itu turut memperoleh dokumen yang menunjukkan bagaimana Bangladesh membeli sistem pemintas telefon bimbit dari Israel, negara yang tiada hubungan diplomatik rasmi dengan Bangladesh, secara rahsia.
“Pakar perisik Israel melatih pegawai dari DGFI (perkhidmatan risikan tentera) Bangladesh di lokasi rahsia di Budapest. Kontrak itu mendedahkan bagaimana Bangladesh menyembunyikan asal-usul perisian Israel dengan mendakwa ia dihasilkan di Hungary,” kata laporan itu.
Al Jazeera berkata, I-Unit menghubungi semua pihak terlibat – termasuk perdana menteri Bangladesh, menteri dalam negeri, ketua polis negara, pesuruhjaya polis, empat adik-beradik Ahmed dan Pesuruhjaya Tinggi di Kuala Lumpur – mengundang mereka untuk memberi maklum balas terhadap penemuan itu.
Namun, tiada seorang pun tampil memberi maklum balas. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.