KUCHING: Penduduk Sarawak kini boleh mendaftar bagi mendapatkan vaksin percuma Covid-19, kata Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata, pendaftaran boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera atau mereka boleh pergi ke hospital, klinik dan pejabat daerah berhampiran.
“Kami kini menerima pendaftaran,” menurutnya dalam kenyataan.
Uggah berkata, penduduk Sarawak hendaklah menggunakan saluran yang betul untuk mendaftar dan tidak mendekati individu yang mendakwa mereka boleh membantu atau menghantar borang pendaftaran.
“Jangan berikan kad pengenalan anda kepada mereka kerana dikhuatiri mungkin disalah guna,” katanya.
Uggah, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berharap semua orang akan mendaftar bagi program vaksinasi yang dijangka bermula di negeri itu pada akhir bulan ini dan akan dilakukan dalam tiga fasa.
“Program vaksinasi itu amat penting dalam usaha kita melindungi diri selain menghentikan atau mengawal penularan jangkitan virus tersebut. Apabila kita boleh melindungi diri kita, kita juga boleh melindungi keluarga dan masyarakat.
“Saya juga berharap orang ramai tidak akan terpengaruh dengan apa yang mereka dengar atau lihat dalam media sosial berhubung dakwaan bahaya vaksin sehingga menolaknya secara peribadi,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.