`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, February 19, 2021

Rayuan MAS, AirAsia berhubung denda RM10 juta diputuskan 27 April

 

AirAsia dan MAS mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Dis 2018 yang mengekalkan keputusan MyCC mendenda kedua-dua syarikat penerbangan itu, masing-masing sebanyak RM10 juta kerana melanggar larangan perkongsian pasaran.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 27 April untuk memutuskan rayuan Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia Berhad berhubung denda RM10 juta yang dikenakan terhadap kedua-dua syarikat penerbangan itu oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Panel tiga hakim terdiri daripada Hanipah Farikullah, Lee Swee Seng dan Indera Mohd Sofian Abd Razak menetapkan tarikh itu dalam prosiding yang berlangsung secara persidangan video menggunakan aplikasi Zoom.

“Kami memerlukan sedikit masa untuk meneliti isu dalam kes ini… ia adalah satu perkara yang penting jadi kami memerlukan masa sebelum membuat keputusan. Oleh itu, kami akan mengumumkan keputusan kami pada 9.30 pagi 27 April,” kata Hanipah selepas panel itu mendengar hujah kedua-dua pihak.

Peguam Ambiga Sreenevasan mewakili AirAsia manakala MAS diwakili Logan Sabapathy dan Lim Chee Wee hadir bagi pihak MyCC.

Ketika ditanya oleh Lim sama ada keputusan itu disampaikan melalui aplikasi Zoom atau dalam prosiding di mahkamah terbuka, Hanipah berkata perkara tersebut bergantung kepada dasar kerajaan.

“Buat masa ini, Mahkamah Rayuan mengendalikan pendengaran secara dalam talian, jadi kami tidak tahu apa situasi negara pada akhir bulan April. Bagaimanapun, kami akan memaklumkan semua pihak sama ada keputusan akan disampaikan secara dalam talian atau melalui prosiding di mahkamah terbuka,” katanya.

AirAsia dan MAS mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Dis 2018 yang mengekalkan keputusan MyCC mendenda kedua-dua syarikat penerbangan itu, masing-masing sebanyak RM10 juta kerana melanggar larangan perkongsian pasaran.

Kes antara MAS dan AirAsia dengan MyCC bermula pada 2014 apabila suruhanjaya itu mendapati kedua-dua syarikat penerbangan melanggar larangan perkongsian pasaran mengikut Seksyen 4(2)(b) Akta Persaingan dengan memeterai satu perjanjian berhubung perkongsian pasaran dalam sektor perkhidmatan pengangkutan udara di Malaysia.

MyCC mempunyai kuasa untuk mendenda kedua-dua syarikat penerbangan sebanyak 10% daripada keuntungan global mereka kerana melanggar akta itu namun mengenakan penalti lebih ringan memandangkan MAS dan AirAsia “telah memberikan kerjasama” semasa siasatan.

Denda RM10 juta yang dikenakan MyCC adalah berdasarkan jumlah penerbangan kedua-dua syarikat dalam tempoh empat bulan iaitu antara 1 Jan dan 30 April 2012 bagi laluan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu, Kuala Lumpur-Kuching, Kuala Lumpur-Sandakan serta Kuala Lumpur-Sibu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.