`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, February 16, 2021

SOP haji sudah dikemas kini, harap Arab Saudi terima, kata menteri agama

 

Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata SOP ibadat haji Malaysia yang sudah dikemas kini akan diserahkan kepada kerajaan Arab Saudi untuk diteliti.

PUTRAJAYA: Kerajaan mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) ibadat haji Malaysia dan akan membuat pindaan dari semasa ke semasa bagi memastikan ia memenuhi syarat kerajaan Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, SOP itu perlu diserahkan kepada Arab Saudi untuk diteliti dan mendapat pengesahan supaya jemaah Malaysia tidak dihalang daripada mengerjakan haji tahun ini.

“Setakat ini Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) bersama Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan serta Kementerian Kesihatan sudah selesai menyediakan SOP ibadat haji Malaysia,” katanya.

Zulkifli berkata, SOP itu akan dikemas kini dari semasa ke semasa supaya selaras dengan SOP Arab Saudi sebelum ini kepada jemaah haji dari seluruh dunia, sambil menambah, beliau berharap ia akan diterima Arab Saudi.

“Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi dijangka mengadakan pertemuan bagi membincangkan kuota haji dan umrah bulan depan,” katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan kepada kakitangan sokongan bawah agensinya anjuran Persatuan Kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Turut hadir Ketua Pengarah JAKIM Abdul Aziz Jusoh, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Akbar Samon dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Mohd Ajib Ismail.

Semalam, media melaporkan Atase Agama Arab Saudi ke Malaysia Sheikh Abdul Rahman Al-Rubaian berkata, Arab Saudi dijangka menerima kunjungan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk membincangkan perkara itu.

Perbincangan antara dua negara mengenai kuota haji dan umrah itu bakal disertai Menteri Luar Hishammuddin Hussein dan Zulkifli.

Mengulas program sumbangan pagi tadi, Zulkifli berkata, sebanyak RM41,000 diagihkan kepada 200 penerima golongan B40 bawah agensinya.

Katanya, setiap penerima mendapat sumbangan RM100 secara “one-off” dan sumbangan barangan makanan berjumlah RM100 daripada bank makanan JAWI.

“Sumbangan ini bagi menghargai jasa dan memberi suntikan semangat kepada pekerja supaya lebih berdedikasi melaksanakan tanggungjawab di agensi masing-masing,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.