KOTA KINABALU: Penduduk di Taman Bandar Sierra dan Taman Rimba di Telipok, dekat sini, yang mengalami gangguan bekalan air sejak 23 April lalu membidas pelan mitigasi Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) ibarat melepaskan batuk di tangga.
Seorang daripada penduduk itu, Tony Paridi Bagang berkata, pada 28 April, masuk hari keenam bekalan air terputus di kawasan perumahan itu dan tangki air alternatif sudah habis digunakan.
Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah itu berkata, penduduk memahami krisis air yang berlaku di Sabah bukan perkara baru, tetapi kecewa dan mula hilang sabar apabila aduan kepada JANS tidak dihiraukan serta tiada tindakan lebih proaktif.
Beliau mendakwa JANS akan memberi pelbagai alasan dikitar semula, seperti birokrasi dan bekalan elektrik terputus di loji rawatan air Talibong, apabila penduduk membuat aduan.
“JANS telah mengambil jalan mudah dengan memasang notis peringatan bahawa Taman Bandar Sierra adalah kawasan catuan bekalan air. Pada hemat saya, ini adalah langkah ‘defensive’ terhadap aduan penduduk yang semakin ekstrem akibat ketidakcekapan JANS,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, masalah bekalan air itu berlarutan lebih lima tahun dan JANS sepatutnya sudah mempunyai pelan mitigasi serta langkah proaktif yang lebih baik untuk menangani isu itu.
“Bukannya dengan menampal notis serta mengitar semula alasan yang diguna pakai selama bertahun-tahun.
“Penduduk Taman Bandar Sierra, khususnya lorong-lorong kawasan tinggi tidak mendapat bekalan air dan terpaksa berbelanja lebih untuk membeli air minuman untuk kegunaan harian. Bayangkan kos yang terpaksa ditanggung penduduk di kala berdepan pandemik.”
Beliau menggesa pengarah JANS menggunakan kuasanya untuk bertindak secara proaktif.
“Saya percaya dengan arahan pengarah untuk menghantar bekalan air menggunakan lori ke lorong-lorong yang terjejas dapat mengurangkan kesulitan penduduk.
“Ini adalah pelan mitigasi kecil, tetapi bersifat proaktif. Janganlah pula beritahu penduduk masalah kos, logistik dan sebagainya kerana itu adalah masalah ‘rumah tangga’ JANS.
“Sebagai pengguna dan pembayar cukai, kami mahu penyelesaian, kenyataan saya ini akan menjadi kayu pengukur sejauh mana JANS akan bertindak untuk membantu penduduk di sini.” - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.