`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, April 28, 2021

Bagaimana saya diganggu secara seksual di sekolah: Lebih ramai wanita tampil bersuara

 

Tanda pagar #MakeSchoolASaferPlace kini trending di Twitter.

PETALING JAYA: Hanya seminggu selepas laporan terdapat sekolah yang melaksanakan”pemeriksaan haid” bagi membuktikan pelajar datang bulan, beberapa wanita Malaysia mengambil tindakan mendedahkan perkara itu secara terperinci pengalaman ‘ngeri’ mereka di media sosial menggunakan tanda pagar #MakeSchoolASaferPlace di Twitter.

Tanda pagar itu tercetus susulan dakwaan pelajar sebuah sekolah menengah berusia 17 tahun
memuat naik video di TikTok, yang mendedahkan guru sekolahnya berkata “jika kamu (pelajar) mahu merogol, jangan rogol seseorang bawah 18 tahun. Rogol orang melebihi 18 tahun.” Video itu kemudian tular di media sosial.

FMT bercakap dengan beberapa wanita mengenai pengalaman mereka.

Seorang gadis berusia 16 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Nur berkata, beberapa minggu lalu guru pendidikan jasmaninya berkata perempuan yang mendedahkan rambut (tidak bertudung) selayaknya dirogol.

Dia berkata, guru wanita juga ada berkata perempuan yang tidak memakai hijab tidak sepatutnya menyalahkan lelaki “jika mereka menggunting gambar muka kamu dan meletakkannya pada gambar bogel orang lain”.

“Ini menunjukkan guru ‘mendidik’ anak kecil yang tidak tahu, lebih baik berfikir seperti ini. Saya juga ada melihat dan mendengar guru bercakap berbaur rasis dan membuat komen lucah sejak bertahun lalu tanpa ada tindakan diambil kerana pelajar takut digantung sekolah sekiranya bersuara mengenai perkara itu.

“Sama ada itu (digantung sekolah) atau orang akan bercakap buruk mengenai kami dan reputasi kami akan hancur,” katanya.

Gadis berusia 21 tahun dari Sabah, mendakwa ustaznya, dalam beberapa majlis pernah memeluknya dari belakang dan meraba pehanya ketika dia di sekolah rendah.

“Dia pernah mengganggu saya dan beberapa murid lain. Ia berlaku ketika saya berada pada Tahun 1 hingga saya di Tahun 5,”

Katanya, dia tahu diganggu secara seksual, tetapi terlalu takut untuk meluahkankannya. “Saya bahkan tidak memberitahu ibu bapa saya mengenainya,” katanya.

Ustaz itu kemudian ditukarkan ke sekolah lain selepas guru besar mengetahui perbuatan itu, katanya lagi.

Seorang lagi wanita, mahu dipanggil Anna berkata, dada dan alat sulitnya pernah diraba di sekolah ketika berusia 11 tahun.

Ia berlaku pada Hari Kantin Sekolah bila mana ada permainan dan aktiviti berlangsung, katanya.

“Saya masuk ke dalam ‘Rumah Hantu’ bersama rakan tetapi saya yang terakhir dalam barisan. Keadaan sangat gelap dan saya tidak dapat melihat apa-apa, tetapi saya dapat merasakan satu daripada ‘hantu’ meraba alat sulit dan dada saya.

Terkejut dengan kejadian itu, dia mengadu kepada guru bertugas tetapi guru hanya mengatakan ia hanya satu “prank”.

“Saya tidak tahu siapa yang berada di dalam rumah hantu berkenaan dan berlakon sebagai ‘hantu’, yang saya tahu semua daripada mereka adalah budak lelaki.

“Ini adalah satu daripada contoh bagaimana saya mengalami gangguan seksual di sekolah. Saya benci apabila melihat perkara ini masih berlaku di sekolah, tindakan serius perlu diambil dan kita perlu menghentikannya,” tambahnya.

Ketika diminta mengulas, Setiausaha Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Harry Tan Huat berkata, “Tiada sebarang komen, kerana kita mahu polis menyiasat kebenarannya.”

Beliau berkata, pelajar perlu menamakan sekolah dan guru yang didakwa terlibat dan membuat laporan polis. “Perkara ini sudah tentunya menyalahi undang-undang, tetapi undang-undang memerlukan bukti,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.