`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, August 12, 2021

25 syarikat seleweng barang kawalan dan subsidi digantung lesen, ditarik kuota

 

Terdapat syarikat yang memindahkan minyak masak dalam paket polibeg 1kg ke botol 2kg, 3kg dan 5kg untuk dijual pada harga pasaran dengan keuntungan tinggi atau diseludup ke negara jiran. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggantung lesen dan menarik semula kuota barang kawalan serta bersubsidi yang diberikan kepada 25 syarikat terbabit dalam penyelewengan, sementara siasatan lanjut dijalankan.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDNHEP, Shamsul Nizam Khalil berkata, tindakan itu membabitkan syarikat yang diberikan kuota barang bersubsidi minyak masak, dengan memindahkan minyak masak dalam paket polibeg 1kg ke botol 2kg, 3kg dan 5kg.

Aktiviti penyelewengan lain turut membabitkan gas petroleum cecair (LPG), dengan memindahkan LPG bersubsidi dari tong 14kg ke tong kegunaan industri untuk dijual pada harga pasaran dengan keuntungan tinggi, termasuk diseludup ke negara jiran.

“Jenayah sebegini memberi impak besar kepada bekalan barangan tersebut di pasaran untuk kegunaan rakyat Malaysia dan di masa sama menyebabkan kerajaan menanggung kerugian berjuta ringgit.

“Tindakan ini perlu sebagai langkah pencegahan serta peringatan kepada syarikat pembungkus dan pemborong supaya tidak terlibat dalam kes seumpama itu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana berurusan secara mengilang atau borong atau runcit.

Katanya, kesalahan lain termasuk di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan membabitkan aktiviti pemindahan minyak masak bersubsidi paket 1kg di tempat tidak dilesenkan.

Shamsul Nizam berkata, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Haram 2001, bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta pelucuthakan hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan barang kawalan bersubsidi, khasnya minyak masak dan LPG.

Katanya, hukuman penjara sehingga 15 tahun dan boleh didenda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, mereka juga boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Syarikat pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.