KOTA BHARU: Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) merayu orang ramai tampil menderma darah berikutan penurunan bilangan penderma susulan sekatan pergerakan yang dilaksanakan di seluruh negara.
Pengarah Hospital USM Dr Ahmad Sukari Halim berkata kebimbangan masyarakat dan penderma darah terhadap keselamatan sepanjang proses menderma darah selain pembatalan kempen derma darah oleh penganjur dilihat turut menjadi penyebab kekurangan orang ramai tampil menderma darah.
Beliau turut meluahkan kebimbangan, sekiranya trend penurunan pendermaan darah itu berterusan maka secara tidak langsung ia akan menjejaskan keupayaan dalam merawat pesakit.
“Bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi untuk kegunaan pesakit, pelbagai inisiatif telah dilakukan Unit Perubatan Transfusi (UPT) Hospital USM bagi menarik penderma darah tampil menderma mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Orang ramai juga tidak perlu bimbang untuk meneruskan aktiviti menderma darah kerana ia dilakukan mengikut SOP yang ditetapkan selaras dengan garis panduan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Sukari berkata bagi meneruskan pendermaan darah, saringan awal akan dilakukan ke atas bakal penderma yang hanya tiada gejala, tidak mengalami jangkitan Covid-19 atau tidak ada kontak rapat dengan pesakit Covid-19 dalam masa 14 hari.
“Petugas kesihatan juga akan memastikan penderma memakai pelitup muka, mengimbas kod MySejahtera, mengisi borang deklarasi risiko Covid-19 Kampus Kesihatan serta mencuci tangan menggunakan pensanitasi sepanjang berada di lokasi,” katanya.
UPT Hospital USM dibuka setiap hari bermula 8 pagi hingga 5 petang dengan tempat meletak kenderaan turut dikhaskan kepada penderma darah. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.