`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, August 15, 2021

‘Jangan sampai berkerat rotan, berpatah arang,’ Khaled Nordin ajak Ahli Parlimen ingkar arahan Umno kembali bersatu hati dengan parti

 

Khaled menegaskan Umno hidup berlandaskan masa depan, bukan hanya sekadar ‘bernafas’ untuk hari ini.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Umno yang masih bersama kerajaan Perikatan Nasional harus kembali bersatu hati bertaut di dahan parti itu dan akur Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan PN terbukti tidak berada di landasan betul untuk kebaikan rakyat, kata Mohamed Khaled Nordin.

Naib Presiden Umno itu berkata kumpulan ahli parlimen berkenaan berperanan penting untuk memastikan agar Umno terus maju ke depan.

“Umno mesti hadir dan berdiri sebagai sebuah ketumbukan orang Melayu yang mempunyai kebersamaan tekad dan kebulatan hati. Bukannya berpecah-pecah dan berlainan haluan ketika dalam keadaan sekarang sangat jelas bahawa PM dan PN sudah tidak berupaya untuk mempertahankan kerajaan yang ada.

“Maka, Umno mesti kembali bersatu hati. Kepada semua Ahli Parlimen Umno di dalam PN, ruang dan tempat kalian dalam parti tidak pernah hilang,” katanya dalam kenyataan.

Bekas menteri besar Johor itu berkata keputusan Umno menarik balik sokongan kepada kerajaan PN pastinya mengundang badai dan gelora, namun paling mustahak adalah cara setiap ahli berdepan dengan cabaran berkenaan.

“Perjalanan kita semua dalam Umno telah sama-sama mendewasakan. Persahabatan mesti kekal dan abadi. Kita jangan sampai berkerat rotan berpatah arang.

“Mereka yang berbeza pandangan dengan kita bukan musuh. Ingat gigi dengan lidah, ada masa tergigit jua,” katanya merujuk kepada pemimpin Umno pro Muhyiddin.

Khaled menegaskan Umno hidup berlandaskan masa depan, bukan hanya sekadar “bernafas” untuk hari ini.

“Atas dasar itu, insyaAllah Umno akan segera meninggalkan episod ini untuk membuka lembaran baru yang lebih penting,” katanya.

Justeru, beliau menggesa semua kepimpinan parti dan akar umbi bersatu dalam usaha Umno menyelesaikan krisis nasional dan mencipta kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.

“Untuk melakukan perkara ini, Umno mesti segera bersatu hati dan mengeratkan semula perpaduannya di semua peringkat sama ada ahli, pemimpin apatah lagi Ahli Parlimen.

“Kita mesti kembali menjadi parti yang kuat, bersatu dan memfokuskan kepada perkara yang betul,” katanya.

Muhyiddin dilaporkan akan mengumumkan perletakan jawatan sebagai Perdana Menteri esok, kerana kehilangan majoriti di Dewan Rakyat setelah 15 Ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan kepada beliau.

Bagaimanapun beberapa menteri Umno, termasuk naib presiden parti Ismail Sabri Yaakob masih menyokong Muhyiddin dan kerajaan PN sehingga sekarang. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.