`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, August 11, 2021

Kain rentang anti Presiden Umno dipasang di Bagan Datuk

 

Perbuatan berkenaan dianggap bermotifkan politik bagi memberi imej buruk terhadap Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar Facebook)

BAGAN DATUK: Pemuda Umno Bahagian Bagan Datuk membuat laporan polis berkaitan kain rentang provokasi mendesak Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, meletak jawatan yang dipasang di sekitar pekan ini, sejak awal pagi tadi.

Ketuanya Mohd Rizan Razali, berkata beliau telah mendapat maklumat mengenai pemasangan kain rentang berkenaan kira-kira jam 7.30 pagi, dipercayai dipasang individu tidak bertanggungjawab, sebelum membuat laporan polis pada jam 3.30 petang tadi.

Katanya, kain rentang memaparkan muka Presiden Umno dengan kata-kata provokasi itu dikesan di 17 lokasi termasuk tiga daripadanya di luar Bagan Datuk iaitu di Batak Rabit, Seberang Perak dan Jambatan Sultan Yusuf, Teluk Intan.

“Kain rentang ini dipasang dengan niat untuk menghina, mengaibkan dan memfitnah Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

“Perbuatan ini amat tidak bertanggungjawab yang bermotifkan politik bagi memberi persepsi buruk terhadap Ahmad Zahid,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis bersama wakil Wanita, Puteri dan Ahli Jawatankuasa bahagian Bagan Datuk di Balai Polis Hutan Melintang, di sini.

Sehubungan itu, Mohd Rizan berkata beliau berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan terbabit.

Katanya, Ahmad Zahid juga telah dimaklumkan mengenai perbuatan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak Ahmad Adnan Basri, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.