`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, August 12, 2021

‘Kontena jenazah’, siasat Sanusi kerana menghina, kata peguam

 

Ramkarpal Singh berkata, Muhammad Sanusi Md Nor mungkin melakukan kesalahan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan dengan tujuan memecah keamanan.

GEORGE TOWN: Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor boleh disiasat polis kerana dipercayai menyebabkan kemarahan umum berhubung kenyataannya mengenai kontena untuk jenazah Covid-19 yang boleh dianggap menghina, kata seorang peguam hari ini.

Ramkarpal Singh berkata, walaupun menteri besar itu mendakwa kenyataannya hanya dibuat kepada wartawan, beliau sepatutnya tahu kata-katanya mungkin dipetik dalam laporan berita.

Katanya, kenyataan Sanusi itu – “kontena jenazah mencukupi, siapa nak masuk, bagi nama” – adalah tidak sensitif dan boleh mengakibatkan provokasi memandangkan bilangan kematian akibat virus itu mencapai jumlah yang mengerikan sejak kebelakangan ini.

Ramkarpal berkata, Sanusi patut disiasat polis sama seperti empat individu yang ditahan dan disoal kerana dikatakan menghinanya di Facebook.

“Persoalannya cuma sama ada menteri besar itu bertujuan menyebabkan provokasi terhadap orang lain dengan membuat kata-kata berkenaan dan sama ada beliau tahu ia mungkin menyebabkan mereka pula melakukan kesalahan.

“Perkara ini perlu disiasat polis walaupun beliau mendakwa ia sekadar gurauan, sama seperti orang lain disiasat bagi kenyataan mereka berhubung kata-katanya itu.

“Melihat isu ini, ada kemungkinan MB Kedah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan. Satu-satunya cara untuk menentukannya adalah memanggilnya untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Seksyen 504 adalah berkaitan kesalahan mengaibkan dengan tujuan memecahkan keamanan.

Selain itu, Ramkarpal menyoal sama ada polis akan menahan menteri besar itu pada awal pagi serta mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret seperti dilakukan dengan beberapa individu yang telah ditahan.

“Beliau tidak kebal daripada tindakan undang-undang dan polis mesti dilihat bertindak tanpa gentar atau pilih kasih,” katanya.

Malam tadi, lima laporan polis dibuat di Balai Polis Bukit Mertajam oleh Pemuda Sosialis DAP Batu Kawan berhubung kenyataan Sanusi itu.

FMT menghubungi Sanusi untuk mengulas perkara itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.