`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, August 6, 2021

Kumpulan hak sivil, aktivis gesa sokong Ain

 

Kumpulan hak sivil meminta guru terbabit menarik balik surat tuntutan dan memohon maaf kepada Ain Husniza Saiful Nizam.

PETALING JAYA: Selepas disaman RM1 juta, remaja yang video TikToknya memperincikan jenaka rogol tidak sesuai didakwa dibuat seorang guru tular April lalu, mendapat sokongan NGO, kumpulan hak asasi dan individu.

Dalam kenyataan, sejumlah 121 organisasi dan 68 individu bersolidariti dan mendesak guru berkenaan menarik balik surat tuntutannya serta memohon maaf kepada Ain Husniza Saiful Nizam.

“Kami, organisasi masyarakat sivil dan individu yang prihatin, terkejut dengan surat tuntutan diterima Ain, pelajar yang mendedahkan gurunya kerana membuat jenaka rogol di kelas.

“Guru berkenaan mengugut untuk menyaman Ain kerana memfitnah dan menuntut RM1,000,000 sebagai ganti rugi.

“Jenaka rogol adalah gangguan seksual secara lisan. Ini bukan hanya menjatuhkan maruah wanita dan gadis dengan menjadikan mereka sasaran keganasan seksual, tetapi juga menormalkan keganasan tersebut sebagai sebahagian daripada status quo.

“Kes Ain bukanlah yang pertama di mana undang-undang mengenai fitnah digunakan terhadap wanita atau gadis yang mengalami gangguan seksual,” kata mereka dalam kenyataan.

Kenyataan itu ditandatangani NGO termasuk All Women’s Action Society (AWAM), Family Frontiers, Sisters in Islam (SIS), Tenaganita, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) dan individu terkemuka seperti Naib Presiden MUDA, Dr Thanussha Francis Xavier dan aktivis hak asasi manusia, Heidy Quah.

Mereka berkata, ancaman undang-undang seperti itu menjadi duluan berbahaya.

“Ini patut dikecam apabila mangsa yang bersuara terhadap pelanggaran seksual diugut dengan saman fitnah. Membiarkan tuntutan sedemikian akan mempersendakan keadilan.”

Ain, yang memainkan peranan penting menjadikan tanda pagar #MakeSchoolASaferPlace tular di media sosial, mendakwa pada April lalu guru pendidikan jasmani dan kesihatan sekolahnya bergurau menggalakkan pelajarnya di SMK Puncak Alam, Selangor, melakukan jenayah rogol.

Setelah berita itu tular, Kementerian Pendidikan berkata, guru terbabit dipindahkan ke Jabatan Pendidikan negeri.

Bagaimanapun, kumpulan itu berkata, tindakan berkenaan tidak mencukupi.

Mereka berkata, selama bertahun-tahun, mereka melihat dalam kes membabitkan salah laku seksual oleh guru, hanya dipindahkan ke sekolah atau kedudukan lain tanpa sebarang tindakan disiplin yang jelas diambil terhadap mereka.

“Oleh itu, kami meminta Kementerian Pendidikan mendedahkan hasil siasatan dalaman terhadap insiden tersebut untuk kepentingan umum.

“Demi menghormati integriti profesion perguruan, kami mendesak guru terbabit menarik balik surat tuntutan saman kepada Ain dan untuk meminta maaf.

“Akhir sekali, kami meminta orang ramai menyokong dan bersolidariti di belakang Ain,” kata mereka.

Terdahulu, polis menerima notis “Tidak Ada Tindakan Lanjut” daripada timbalan pendakwa raya mengenai kes tersebut dan guru terlibat membuat laporan polis berhubung kes berkenaan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.