`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, August 10, 2021

Majoriti diragui, PM perlu adakan sidang Parlimen lebih awal, kata peguam

 

Seorang peguam berkata, pendedahan akuan berkanun (SD) mempersoalkan kebenaran kenyataan Muhyiddin Yassin bahawa beliau masih mendapat sokongan majoriti. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang peguam mengulangi seruan agar Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memanggil semula sidang Parlimen lebih awal setelah Umno mendedahkan dua surat yang dihantar presidennya, Ahmad Zahid Hamidi, kepada Yang di-Pertuan Agong.

Abdul Shukor Ahmad berkata, demokrasi menuntut agar Muhyiddin membuktikan sokongan majoritinya baik kepada Agong mahupun di Dewan Rakyat.

“Minggu lalu, Muhyiddin mengumumkan bahawa beliau masih mendapat sokongan dan akan mengadakan sidang Dewan Rakyat pada September.

“Bagaimanapun, sidang mesti diadakan lebih awal berdasarkan keadaan semasa,” katanya kepada FMT.

Shukor mengulas mengenai dokumen bertarikh 30 Julai dan 4 Ogos yang dimuat naik ke laman web Umno semalam.

Dalam surat pertama, Zahid memaklumkan Agong bahawa beliau mahu menyampaikan beberapa akuan berkanun (SD) daripada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang memutuskan untuk menarik balik sokongan kepada Muhyiddin secara serta-merta.

Dalam surat kedua, Zahid menyatakan hasratnya untuk menyampaikan SD tambahan daripada lebih ramai Ahli Parlimen BN yang menarik balik sokongan mereka kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“SD tambahan ini adalah sebagai lanjutan kepada warkah patik terdahulu yang menyebutkan akan terdapat SD yang akan menyusul,” katanya dalam surat berkenaan.

Kata Zahid lagi, setakat ini, 14 Ahli Parlimen telah menandatangani SD untuk menarik balik sokongan kepada PN dan Muhyiddin.

Surat berkenaan turut melampirkan salinan setiap dokumen yang ditandatangani.

Shukor berkata, pendedahan SD ini juga mempersoalkan kebenaran kenyataan Muhyiddin bahawa beliau masih mendapat sokongan majoriti.

“Berdasarkan formula perkongsian kuasa sedia ada dan dengan mengambil kira mereka yang melompat, Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan sekurang-kurangnya 111 Ahli Parlimen,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan untuk mengadakan sidang Dewan Rakyat sebelum September boleh membuka jalan bagi Agong untuk bergantung kepada kaedah-kaedah lain, suatu prinsip undang-undang yang dibentuk dalam kes Menteri Besar Perak.

Ini termasuk menemu bual Ahli Parlimen dan menerima SD atau surat sokongan agar Agong dapat membuat keputusan.

Sementara itu, peguam Americk Sidhu berkata, SD berkenaan tidak sah mengikut undang-undang kerana ia tidak mematuhi peruntukan dalam Akta Pengisytiharan Berkanun.

“Mereka tidak mengikut format yang ditetapkan dan tidak dibuktikan oleh peguam, dan ini melanggar Akta,” katanya kepada FMT.

Muhammad Rafique Rashid Ali bagaimanapun berkata, setiap cela pada SD adalah bersifat sampingan kerana niat mereka yang menandatanganinya jelas.

“SD sesuai dengan keadaan yang luar biasa,” katanya, sambil menambah, dalam krisis Perak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hanya memberikan surat memberitahu Sultan bahawa mereka tidak lagi menyokong Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar.

Mahkamah Persekutuan pada 2010 memutuskan bahawa keputusan Sultan untuk memecat Nizar dan melantik Zambry Abdul Kadir daripada BN sebagai Menteri Besar adalah tepat.

Sultan telah menemu bual semua 59 ADUN, selain menerima surat dan SD, bagi menyimpulkan Nizar tidak lagi mempunyai sokongan majoriti untuk kekal sebagai Menteri Besar. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.