`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, August 11, 2021

Masjid musnah dijilat api, bomba hadapi cabaran untuk ke lokasi

 

Masjid yang terletak di kawasan kepulauan di Sarawak itu musnah terbakar. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Jarak yang terlalu jauh, selain pihak bomba terpaksa menggunakan feri menjadi punca Masjid Al Amin di Kampung Semop, Pulau Bruit, di Daro, Sarawak, musnah, dalam kejadian kebakaran, petang tadi.

Kebakaran membabitkan aset separuh kekal kebiasaannya sukar diselamatkan terutama di kawasan pedalaman negeri berkenaan susulan kesukaran bantuan kecemasan tiba dalam tempoh singkat.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 5.41 petang, tadi.

Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota dengan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

“Bagaimanapun, bomba terpaksa menempuh perjalanan jauh termasuk menaiki feri kerana lokasi kejadian itu terletak di Pulau Bruit.

“Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan kebakaran sudah memusnahkan keseluruhan masjid berstruktur separuh kekal itu,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Katanya, kebakaran itu dipadam oleh penduduk kampung dengan bantuan lori tangki air dari Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Daro.

“Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Abdullah Saidol, berkata beliau menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 6.30 petang tadi.

“Saya belum menerima maklumat lengkap berhubung punca kejadian itu dan akan ke sana (Pulau Bruit) esok,” katanya ketika dihubungi. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.