`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, August 7, 2021

MB Kedah mohon maaf selepas dikecam gurau ‘kontena jenazah’

 

PETALING JAYA: Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor memohon maaf kepada mana-mana pihak yang tersinggung dengan gurauan “kontena jenazah” semalam yang dikritik oleh orang ramai termasuk pimpinan pembangkang.

Beliau berkata gurauan yang ditularkan semalam itu telah diambil di luar konteks.

“Saya suka bergurau tetapi oleh kerana gurauan semalam itu agak kasar saya nak maklumkan saya gurau dengan wartawan, yang telah jadi sebahagian daripada keluarga dalam kerjaya saya ini.

“Oleh kerana ada pihak yang tersinggung, terasa hati dengan gurauan itu, saya ambil kesempatan pagi ini untuk memohon maaf kepada pihak-pihak yang tersinggung dengan gurauan itu,” katanya pada sidang media di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Utara Malaysia (UUM).

Sanusi sekali lagi menjadi sasaran kritikan di media sosial berikutan kenyataan kontroversi, “kontena jenazah mencukupi, siapa nak masuk, bagi nama”.

Kenyataan beliau itu bukan sahaja memberi “peluru” kepada pembangkang mengkritik ulasan tidak sensitif di tengah-tengah penularan wabak Covid-19 yang melanda negara, malah dibidas warganet.

Semalam seramai 160 kes kematian akibat Covid direkodkan, menjadikan angka keseluruhan mangsa meninggal dunia kerana wabak itu adalah berjumlah 10,179.

Dalam pada itu, Sanusi mengakui gurauannya semalam telah dikecam dan beliau menerimanya.

Beliau berkata, gurauan semalam itu hanyalah dengan wartawan yang sudah mengetahui sikapnya yang suka bergurau.

“Mereka tahulah saya punya karakter itu. Tetapi oleh kerana termasuk dalam kamera nasib sayalah. Ramai juga yang menghantar mesej mencela. Saya terima sebagai adat dalam kerjaya saya ini. Ada suka ada yang benci,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.