GEORGE TOWN: Banyak anjing mati ditemui di pantai Tanjung Bungah, menimbulkan kebimbangan penduduk tempatan bahawa ada individu yang sengaja membunuh haiwan liar di kawasan itu.
Sekumpulan individu yang prihatin berkata, bangkai anjing yang ditemui di pantai itu tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal, menunjukkan kemungkinan insiden keracunan.
Bulan lepas sahaja, nelayan dan pekerja-pekerja di pantai menjumpai 15 ekor bangkai anjing, dengan ada yang berkata, mereka menjumpai sekurang-kurangnya tiga bangkai sehari.
Aida Redza, seorang ahli kumpulan tindakan tempatan, berkata sejak tiga tahun lalu, bangkai anjing dibuang ke dalam Sungai Kelian yang mengalir ke pantai itu.
Katanya, bangkai-bangkai berkenaan ada yang dibalut dengan plastik dan ada dengan kain.
“Ini satu misteri. Adakah anjing-anjing malang ini diracun atau dibunuh dengan kejam?
“Seorang pekerja pembersihan pantai beritahu kami, beliau jumpa banyak anjing mati di pantai itu sejak dua hingga tiga tahun yang lalu. Ada yang telah beliau tanam di pantai,” katanya.
Aida mendakwa, pasukan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar lepas tangan setelah membuat pemeriksaan.
Kata mereka, menurut Aida, ini masalah yang patut ditangani Jabatan Pengairan dan Saliran memandangkan bangkai anjing itu dibuang ke dalam sungai.
Sebilangan penduduk berkata, pegawai veterinar memberitahu mereka tidak dapat melakukan bedah siasat kerana penderaan haiwan belum dapat dipastikan.
Aida berkata, banyak laporan polis dibuat selama bertahun-tahun tetapi polis tetap merujuknya kepada Jabatan Veterinar, yang memberi respons sama.
Katanya, pekerja majlis bandaraya mengemukakan teori bahawa anjing-anjing berkenaan adalah haiwan liar yang tidak sengaja termakan makanan beracun yang dimaksudkan untuk gagak.
Setiausaha Spay Adopt Manage Assist Sarah West berkata, bilangan kamera litar tertutup (CCTV) perlu ditingkatkan berdekatan jambatan di Sungai Kelian.
Beliau berk
Beliau berkata, ada kemungkinan individu yang sepatutnya membakar bangkai-bangkai anjing berkenaan mengambil jalan mudah dengan membuangnya ke dalam sungai.
“Kata nelayan-nelayan, ini telah terjadi selama bertahun-tahun. Saya mengesyaki seseorang melakukannya sebagai sumber pendapatan,” tambahnya.
FMT telah menghubungi MBPP untuk mendapatkan komen. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.