SHAH ALAM: Selangor akan mengagihkan bantuan data percuma kepada pelajar bermula Oktober ini bagi tujuan menyokong pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), kata Menteri Besar Amirudin Shari.
Beliau berkata, inisiatif bagi tempoh setahun itu akan dimanfaatkan oleh pelajar yang menyertai Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan golongan berpendapatan rendah.
“Kita menyedari PdPR merupakan salah satu unsur penting yang diperlukan. Saya faham peranti salah satu daripada kekangan tetapi bila kita melawat rumah ke rumah, paling tidak ada peranti milik keluarga yang boleh dikongsi.
“Tetapi bekalan internet juga merupakan salah satu yang kritikal jadi kerajaan negeri ambil pendirian ingin membantu,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Beliau menjawab pertanyaan Mohd Sany Hamzan (PH-Taman Templer) berhubung peruntukan untuk pelajar yang memerlukan peranti bagi kemudahan PdPR.
Awal bulan lalu, Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua mengumumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menikmati kad sim dilengkapi data percuma selama 12 bulan.
Beliau berkata, program berkenaan disasarkan kepada pelajar dan mahasiswa institut pengajian tinggi (IPT) awam, serta peniaga dalam talian di bawah e-Bazar Selangor serta ibu tunggal. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.