`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, August 6, 2021

Perpecahan dalam Umno bakal meruncing jika terus desak ahli letak jawatan, kata penganalisis

 

Menteri-menteri Umno tersepit dalam dua pertimbangan, iaitu antara pentadbiran pusat dan parti, kata penganalisis. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Umno perlu bersedia berdepan perpecahan dalaman yang lebih meruncing jika terus menekan Menteri dan Timbalan Menterinya melepaskan jawatan dalam pentadbiran Perikatan Nasional (PN), kata penganalisis politik.

Pakar geostrategis Azmi Hassan berkata, Umno juga akan berperang dengan persepsi rakyat sama ada desakan demi desakan terhadap Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN adalah demi kebaikan rakyat atau “kebajikan parti”.

Ini kerana, katanya, jika menteri-menteri Umno akur dengan kemahuan parti supaya meletak jawatan, segala rencana pemulihan negara dikhuatiri akan terencat, khususnya hal-hal berkaitan vaksin.

“Dua menteri (Umno) memegang portfolio penting, iaitu Menteri Kesihatan dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, yang terlibat secara langsung dalam pemberian vaksin. Apa yang dikhuatiri, walaupun Muhyiddin boleh ganti dengan orang lain tetapi sudah pasti akan terencat sedikit. Itu kita tidak mahu terjadi.

Azmi Hassan.

“…dan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kanan yang menjaga kluster keamanan juga jika dipaksa tarik diri, sudah pasti merencatkan perjalanan urus tadbir negara,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, Azmi tidak menolak tekanan berterusan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kepada ahli-ahlinya dibuat supaya sidang khas Parlimen diadakan secepat mungkin bagi membentangkan usul undi percaya terhadap Muhyiddin.

“Jika menteri-menteri Umno tarik diri, ia akan bawa kejatuhan kerajaan PN dan terbukti secara jelas Muhyiddin sudah hilang majoriti tanpa menunggu sidang Parlimen, dan ini boleh memaksa sidang khas Parlimen dipercepat. Itu mungkin strategi Umno untuk beri tekanan,” katanya, sambil menjelaskan setiap ahli parti pada dasarnya perlu patuh kepada arahan parti, terutamanya keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Seorang ahli akademik daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Izani Zain turut senada dengan Azmi, dengan berkata, Umno berhak menarik sokongan tetapi perlu mengakui “impak” yang besar akan tercetus jika bertegas mahu mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang ingkar arahan parti.

“Mungkin akan berlaku perpecahan dalaman kerana ia melibatkan jumlah pemimpin Umno yang besar,” katanya.

Beliau berkata, menteri-menteri Umno tersepit dalam dua pertimbangan, iaitu antara pentadbiran pusat dan parti.

Izani Zain.

“Menteri Umno terikat dengan prinsip tanggungjawab, yang mana perlu akur dengan keputusan Jemaah Menteri dan Perdana Menteri, tetapi pada masa sama, dihimpit dengan keputusan parti,” katanya.

Tambahnya, segala keputusan muktamad dibuat Ahli-ahli Parlimen parti itu perlu mengutamakan sama ada kepentingan negara atau kepentingan parti.

Semalam, FMT melaporkan ahli MKT Umno, Johari Ghani, menggesa parti itu mengambil tindakan disiplin yang tegas terhadap mana-mana ahli yang terus-menerus mengingkari keputusan parti itu selepas mengambil kira penderitaan ekonomi dan kesihatan serta isu perlembagaan yang dihadapi negara ketika ini.

Tegasnya, Umno tidak boleh membenarkan pengingkaran terhadap titah Yang di-Pertuan Agong dan tidak boleh terus bersama kerajaan PN yang dikatakan gagal mengurus krisis Covid-19.

Setakat semalam, seramai 14 Ahli Parlimen Umno memutuskan untuk patuh kepada keputusan parti menarik balik sokongan terhadap kerajaan Muhyiddin, namun beberapa wakil rakyat lain, termasuk mereka yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan, belum berbuat demikian.

Zahid pada Selasa mengumumkan semua Ahli Parlimen Umno mesti menarik balik sokongan mereka terhadap Perdana Menteri, susulan kemelut berkaitan pembatalan Ordinan Darurat.

Susulan itu, ahli MKT, Shamsul Anuar Nasarah menjadi menteri Umno pertama yang melepaskan jawatannya sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli pada hari sama.

Seramai 16 orang wakil Umno berada dalam kerajaan PN ketika ini, menjawat pelbagai jawatan penting termasuk Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.