SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong semalam mengumumkan mulai November, jururawat yang beragama Islam dalam sektor kesihatan awam akan dibenar memakai tudung ketika menyarung seragam.
“Saya harap keputusan ini akan diterima semua pihak dengan semangat yang betul, dalam usaha memperkukuh iltizam bersama kita dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura,” kata Lee ketika berucap sempena Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) 2021 semalam.
Pada ucapan sempena NDR, selain bahasa Inggeris perdana menteri kebiasaannya menyampaikan ucapan dalam tiga bahasa termasuk Melayu dan Cina.
“Kami membuat penyesuaian dengan berhati-hati demi memastikan keharmonian kaum dan agama. Pendekatan seperti ini, telah membuahkan hasil sejak bertahun-tahun.
“Dan kita harus meraikan apa yang telah dicapai: negara yang benar-benar berbilang kaum, berbilang agama, dengan kita dapat menyaksikan banyak interaksi mesra dan akrab dipaparkan setiap hari,” kata Lee.
Pada 2014, Lee berkata terdapat perbincangan hangat mengenai isu tudung dan mesyuarat tertutup dengan pemimpin Islam juga telah diadakan.
“Kami berbincang dari hati ke hati. Mereka menjelaskan kepada saya mengapa pemakaian tudung penting dan mereka berharap kerajaan akan membenarkan.
“Saya beritahu mereka bahawa saya amat memahami, tetapi saya juga menjelaskan perspektif kerajaan dan alasan di sebalik dasar kami,” kata Lee.
Namun, disebabkan beberapa alasan yang kukuh, Lee berkata untuk Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Home Team dan perkhidmatan beruniform yang lain, kerajaan perlu mengekalkan status quo.
“Mereka menegakkan undang-undang Singapura. Mereka mesti selalu dilihat menjalankan tugas mereka tanpa rasa takut atau pilih kasih.
“Sebab itu mereka semua memakai seragam yang sama,” katanya.
Bagi jururawat di hospital, Lee berkata “di sini, percanggahan pendapat cuba diseimbangkan.”
“Satu pihak adalah kemahuan rakyat manakala kerajaan di satu lagi sudut, memikirkan aspek kebangsaan dan perkara spesifik.
“Pesakit di hospital pula sering resah dan adakalanya tenat. Jadi penting mereka melihat semua jururawat dalam keadaan sama. Pada satu lagi aspek pula, jururawat juga perlu berasa selesa untuk menjaga semua pesakit, tidak kira agama atau kaum.
“Kami tidak mahu perbezaan ketara dalam isu pakaian seragam jururawat menjadikan perkara ini sukar ditangani,” kata Lee.
Perdana Menteri berkata, beliau sudah pun memberitahu pemimpin Islam pada 2014 bahawa dasar kerajaan dalam sektor penjagaan kesihatan tidak bermakna ia tidak boleh diubah.
“Kami memantau keadaan. Jika dan bila kita mahu mengubah pendirian, kami pasti akan terlebih dulu memastikan semua – Islam dan bukan Islam – faham serta dapat menerima perubahan itu. Kerana bertudung bukan saja isu membabitkan orang Islam. Ia isu negara,” katanya.
Sejak itu, Lee berkata kerajaan sentiasa memantau rapat keadaan berkenaan.
“Kami memantau secara menyeluruh dan mendapati interaksi antara kaum kekal mesra. Bukan Islam semakin terbiasa dan dapat menerima wanita Islam memakai tudung.
“Dalam banyak keadaan juga wanita Islam yang bertudung kebanyakannya selesa bersosial dengan lelaki dan wanita bukan Islam. Terutamanya di hospital, sesetengah staf yang tidak berseragam, memakai tudung dan kami melihat hubungan mereka dengan pesakit serta rakan, begitu baik,” katanya.
Lee berkata, lagi pun generasi muda Singapura kini sudah lebih menerima perbezaan agama dan kaum. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.