`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, August 20, 2021

Syarat PN mahu Jemaah Menteri ‘bersih’ bukan ugutan, kata penganalisis

 

Penganalisis berkata dengan memenuhi syarat itu, Umno boleh membuktikan “integriti” mereka.

PETALING JAYA: Beberapa syarat pelantikan Jemaah Menteri baharu yang ditetapkan Perikatan Nasional (PN) dalam menyokong Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri, termasuk bebas tuduhan jenayah di mahkamah, bukanlah satu bentuk ugutan, kata penganalisis politik.

Iskandar Hasan Tan Abdullah dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kelantan berkata, ia perlu dilihat secara positif oleh semua pihak bagi memastikan kerajaan yang bakal dibentuk boleh memberi keyakinan kepada rakyat.

Katanya, dengan memenuhi syarat itu, Umno boleh membuktikan “integriti” mereka dan mengubah persepsi rakyat yang melihat parti itu terpalit dengan isu rasuah dan sebagainya.

“Ismail boleh menjadikan syarat itu sebagai penanda aras kerajaan pimpinannya nanti. Melalui usaha ini, ia akan meyakinkan orang Melayu untuk mengembalikan semula wadah perjuangan Umno dalam arus politik negara.

“Ia memberi gambaran bahawa kepimpinan Umno hari ini telah berubah termasuk mementingkan agenda Melayu dan bukannya agenda pemimpin tertentu dan seterusnya, mengikis persepsi negatif yang sering dikaitkan dengan kes mahkamah (membabitkan beberapa pemimpin Umno),” katanya kepada FMT.

Katanya, jika diangkat sebagai perdana menteri ke-9, Ahli Parlimen Bera itu perlu bertolak ansur dengan rakan parti dalam pentadbiran dan tidak membiarkan Umno mendominasinya kerana ia boleh menyebabkan berlakunya ketidakstabilan.

“Ini adalah masanya untuk Umno tunjukkan sikap ‘gentleman’ mereka,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin menyatakan sokongan PN kepada Ismail adalah bersyarat apabila Naib Presiden Umno itu hendaklah memastikan Jemaah Menteri baharunya “berintegriti, beramanah, dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah”.

Pengerusi PN dalam kenyataannya turut berkata, kerajaan pimpinan beliau juga mestilah “meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman, dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan”.

Seorang lagi penganalisis, Wan Hashim Wan Teh dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pula berpendapat adalah lebih baik jika urusan pelantikan Jemaah Menteri baharu diserahkan sepenuhnya kepada budi bicara perdana menteri.

“Ismail perlu diberi kebebasan untuk melantik sesiapa saja yang dianggap paling sesuai dalam Kabinet beliau. Jika diletakkan syarat, masalah boleh timbul termasuk penarikan sokongan apabila berlaku pelanggaran syarat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau bersetuju sekiranya Muhyiddin yang juga sebagai bekas perdana menteri, menjadi “penasihat” kepada kerajaan terutama dalam membantu Ismail supaya lebih berhati-hati dalam memilih individu yang dilantik dalam Jemaah Menteri.

“Ia bagi menjaga imej kerajaan supaya nampak bersih, boleh diterima umum dan masyarakat melihat ia satu Kabinet yang berintegriti dan boleh dipercayai,” katanya.

Bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia, Ahmad Atory Hussain pula percaya syarat yang dibuat PN sememangnya sudah dibincang antara Muhyiddin dan kumpulan Ismail dalam mencapai persetujuan menang-menang.

“Ismail telah bersama kerajaan PN selama 17 bulan dan sedar Umno tidak boleh bersikap dominan. Umno memerlukan kerjasama daripada Bersatu demi kelangsungan mereka dan beliau dilihat tidak mahu bersikap angkuh dan sombong seperti beberapa pemimpin Umno lain,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.