`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, August 4, 2021

Tuan-Tuan Antara Sebab Negara Kita Terkebelakang Ialah Kerana Undang-Undang Negara Pun Terkebelakang. Kita Mesti Tukar / Mansuhkan Undang-Undang Yang Toxic Berkarat

 Tuan-tuan sebelum ini saya telah bangkitkan isu ini berkali-kali. Kita perlu mansuhkan (batal, abolish) beberapa undang-undang negara dan tukar atau merobah semula sebahagian yang lain. 

INI ADALAH SANGAT PENTING BAGI MASA DEPAN MASYARAKAT KITA TERUTAMA SEKALI MASA DEPAN RAKYAT MARHAEN, ORANG BIASA DAN ORANG MISKIN. 

Saya pernah menulis dulu (dalam bahasa Inggeris) bahawa kita tidak sepatutnya mansuhkan ISA. Itu telah menjadi satu kesilapan yang sangat besar.  ISA TIDAK mengancam negara kita sedikit pun dan sebaliknya telah sangat efektif menjaga keselamatan negara kita.

Parti pembangkang termasuk parti lebai telah mainkan isu ISA sebab mereka tiada modal politik lain. Dan akhir sekali seorang Perdana Menteri yang penjenayah dan perasuah telah pun faham bahawa dia masih boleh buat apa pun yang dia mahu tanpa ISA pun. Maka ISA pun dimansuhkan untuk padamkan kritikan terhadapnya.

Maka terjadilah bahawa ISA pun dimansuhkan. Tetapi apa pula yang telah berlaku sesudah ISA di mansuhkan?  

  • Peguam Negara masih boleh dipecat dalam masa 24 jam. 
  • Pegawai Polis yang bantah salah-guna kuasa boleh dipecat atau ditukar jawatan dalam 24 jam. 
  • Anak dara yang lepaskan belon kuning (yellow balloons) boleh dihadapkan ke Mahkamah. 

Dan banyak lagi.

Apa maksudnya? Maksudnya ialah pemimpin yang penjenayah dan perasuah TIDAK PERLU KEPADA ISA untuk menyalah-gunakan kuasa. Pemimpin yang zalim, kerajaan yang zalim, pemimpin yang penjenayah, Kerajaan yang penjenayah, pemimpin yang perasuah, Kerajaan yang perasuah boleh gunakan sebarang akta atau undang-undang untuk menzalimi orang. Mereka tidak perlu kepada ISA pun.

Akta dan undang-undang di peringkat negeri boleh digunakan untuk mengambil tanah dan hasil usaha orang lain.  

Sebagai contoh sahaja - Kerjasama dua tiga ekor sahaja Pegawai Kerajaan boleh membantu pemimpin penjenayah untuk kekal dalam jenayah. Sebagai contoh sahaja Pegawai Kerajaan yang menjaga pasir dan lumpur boleh bantu tutup "ketirisan" pasir dan lumpur. Pegawai Kerajaan yang bertanggungjawab menjaga kemasukan PATI boleh membantu "tutup sebelah mata" kes rasuah PATI yang melibatkan ahli keluarga pemimpin. 

Jadi tuan-tuan we did not achieve anything by abolishing the ISA. Kita tidak mencapai apa-apa pun dengan mansuhkan ISA.

Negara dan masyarakat kita tidak beruntung apa pun dengan pemansuhan akta ISA. Pemimpin yang penjenayah, perasuah dan zalim masih boleh terus lakukan jenayah dan menzalimi rakyat marhaen. Mereka masih boleh salahgunakan banyak lagi akta-akta dan undang-undang dalam negara kita.

Malang sekali dalam negara kita masih terdapat beberapa rang undang-undang yang sebenarnya lebih menzalimi rakyat marhaen. 

Bagi saya, contoh yang al wahid adalah undang-undang Libel (Libel or Defamation Laws) atau undang-undang saman malu / fitnah. Bagi saya undang-undang saman malu (Libel Laws) dalam negara kita bukan saja tertulis pada zaman jahiliyah dan zaman batu tetapi ianya kerap disalahgunakan oleh orang yang banyak berdosa dan pemimpin penipu untuk tutup kemaluan besar mereka.  

TERUTAMA SEKALI AHLI POLITIK, ORANG KENAMAAN, ORANG KAYA JUTAWAN DAN TAUKEH BESAR YANG KAYA RAYA.

Saya pernah sebut perkara ini dulu - bahawa undang-undang saman malu / fitnah di Malaysia ini lebih membahayakan keselamatan negara kita daripada Chin Peng kominis dan lebai ekstremis sekali. 

Terlalu banyak kali puak-puak orang kaya, puak-puak penipu dan puak-puak pencuri gunakan undang-undang saman malu / fitnah ini (Libel / Defamation Laws) untuk menutup mulut rakyat biasa ia itu rakyat marhaen daripada bangkitkan isu-isu atau pecahkan tembelang rahsia-rahsia keparat mereka. 

Percayalah di negara maju dalam dunia ini, mereka sudah lama merobah Libel Laws mereka untuk lebih menjaga kepentingan rakyat marhaen daripada menjaga kepentingan orang kaya dan orang yang berpengaruh  besar. 

40 tahun yang sudah sewaktu saya menjadi pelajar di universiti di Amerika Syarikat, profesor kuliah undang-undang saya menjelaskan konsep 'public personality' atau 'public figure' dan undang2 libel laws di Amerika Syarikat. "Public personalty" dalam bahasa mudah maksudnya orang ternama. 





Public personality maksudnya orang yang bergantung kepada umum untuk mencari makan, untuk kekalkan pengaruh mereka, untuk menjaga status dan populariti mereka dsbnya. 

Contohnya calon pilihanraya presiden, presiden Amerika Syarikat, ahli politik Dewan Congress dan ahli Dewan Senator, para gabenor peringkat negeri semuanya termasuk "public personality". Mereka semua meletakkan diri mereka sebagai 'anugerah Tuhan', sebagai calon yang terbaik, sebagai calon 'Lets make America great again' (Donald Trump), 'Yes we can' (Obama) dsbnya.

Maka undang-undang saman malu (Libel Laws) di Amerika Syarikat tidak memberikan mereka ini sedikitpun perlindungan daripada teguran, kritikan, cacian, maki-hamun ataupun dikena carut-mencarut oleh sesiapa pun.

Maka apabila Presiden Bill Clinton terlibat sex scandal dengan Monica Lewinsky pihak media, pelawak TV, pembaca berita TV dan radio di Amerika Syarikat bebas membincang, mengkritik, mencaci, buat lawak dan mempersendakan Bill Clinton siang dan malam dan tanpa putus berkenaan penglibatan Clinton dan Monica Lewinsky itu. Tanpa khuatiri sebarang tindakan saman malu oleh Clinton atau pun Lewinsky.

Begitu juga apabila Donald Trump janjikan 'Lets Make America Great Again' paling ramai pengkritiknya telah kritik dan memaki-hamunkan Donald Trump termasuk menyentuh isu peribadi dan keluarga Donald Trump.

Tetapi oleh kerana beliau adalah Presiden Amerika Syarikat maka undang-undang libel mereka tidak memberi sedikitpun perlindungan kepada Donald Trump untuk saman malu (libel suit) sesiapa pun di mahkamah. 

Maka sebab itulah media dan akhbar Amerika Syarikat cukup bebas dan berjaya menjadi 'check and balance' terhadap pemimpin politik daripada terlanjur atau terlibat jenayah, untuk mengawasi syarikat gergasi yang menjual produk yang memberi kesan kepada masyarakat umum dsbnya.   

Dalam negara kita pula lain ceritanya. Ahli politik yang naik turun tangga mahkamah atas pelbagai tuduhan jenayah dan suka menjual diri mereka sebagai 'Anugerah Tuhan' boleh gunakan tindakan undang2 saman fitnah / malu (Libel Suit, Defamation Act) RM100 juta, RM50 juta atau RM10 juta untuk menutup mulut sesiapa pun yang kritik mereka.



Seorang bekas Menteri (wanita) telah mengancam akan ambil tindakan mahkamah (saman fitnah / malu) terhadap sesiapa pun yang menyoalkan penglibatan syarikat kepunyaan keluarga suaminya dalam isu tertentu berkaitan pencemaran alam. 

Syarikat-syarikat gergasi (termasuk syarikat GLC yang ditubuhkan dengan menggunakan duit rakyat) pernah mengambil tindakan saman fitnah / malu di mahkamah atau mengancam untuk mengambil tindakan saman malu, apabila nama syarikat itu disebut berkaitan beberapa isu yang curang atau yang tidak baik.

Tuan-tuan, percayalah negara dan masyarakat kita tidak boleh mara ke depan untuk menjadi negara maju jika orang politik, orang kaya, orang ternama, orang berpengaruh dan yang sewaktu dengan mereka boleh dengan begitu mudah sekali menutup kerja-kerja keparat mereka dengan menggunakan tindakan mahkamah 'saman malu'. 

Oleh itu saya harap anak-anak muda yang minat ceburi politik negara akan bangkitkan isu ini dan menjadikan perkara ini isu penting untuk pertimbangan para pengundi bila tiba pilihanraya. Kita mesti merobah undang2 saman malu (Libel Laws) untuk lebih menjaga kepentingan rakyat marhaen daripada menjaga kepentingan orang kaya dan orang besar. 

Satu lagi akta yang memang lapuk, berkarat dan berzaman dinosaur adalah Akta Hasutan atau Sedition Act. Tuan-tuan tahu tak bahawa  Sedition Act (Akta Hasutan) telah digubal oleh penjajah British pada tahun 1948? Pada zaman itu tidak ada negara merdeka Malaysia, tidak ada Yang Di Pertuan Agong, tidak ada Perdana Menteri atau ahli politik. Tidak ada Dewan Rakyat ataupun Dewan Negara Malaysia. 



Akta Hasutan 1948 itu telah digubal di Parlimen penjajah British di London.  Tujuan Akta Hasutan 1948 itu adalah untuk kekalkan kuasa penjajah British di tanah Malaya, untuk menekan rakyat tanah air kita, untuk menzalimi sesiapa pun yang memperjuangkan kemerdekaan negara kita, untuk menyekat perkembangan ekonomi watan dsbnya. 

Tan Sri Lim Goh Tong, peneroka Gunung Ulu Kali dan pemaju Genting Highlands, pernah ceritakan bagaimana penjajah British tidak membenarkan bangsa bukan kulit putih daripada mengimpot kereta, lori dan traktor baru ke dalam negara kita. Hanya bangsa kulit putih diberi lesen mengimpot kereta, lori dan traktor baru. Sesiapa yang menyoal kuasa kulit putih British boleh dikenakan tindakan jenayah di bawah Akta Hasutan 1948.  

Tetapi apa pula yang berlaku setelah kita Merdeka pada tahun 1957? Akta Hasutan 1948  penjajah British itu dikekalkan pula. Pelik bin Ganjil sekali. Instead of kita mansuhkan Akta Hasutan 1948, ahli politik kita sudah mula nampak 'kehebatannya' kuasa Akta itu. Serupa penjajah British, mereka pun boleh ambil manfaat daripada Akta Hasutan 1948.  

Bandingkanlah dengan pemimpin agong Ho Chi Minh yang telah membebaskan Vietnam daripada belenggu penjajahan Perancis (pada tahun 1945). Ho Chi Minh telah mengisytiharkan bahawa segala-gala dan kesemua undang-undang yang pernah digubal atau disyaratkan oleh kerajaan penjajah Perancis adalah terbatal dengan serta merta. Negara merdeka Vietnam akan merobah dan menggubal semula apa-apa keperluan perundangan masyarakat merdeka Vietnam.


Ho Chi Minh

Tetapi kita di Malaysia pula telah kekalkan undang-undang zalim penjajah British. Cuma beberapa perkataan British di tukar-ganti. Itu saja. Yang lain semua kekal.

Jadi British menggubal Akta Hasutan 1948 untuk menekan dan menzalimi rakyat negara kita. Sebab itu mereka digelar "penjajah".  Habis sekarang ini kita kekalkan Akta Hasutan itu untuk apa? 

Jadi tuan-tuan, masa depan negara kita terletak dalam tangan tuan-tuan.  Masa depan negara kita TIDAK TERLETAK dalam tangan puak-puak keparat ahli politik, pemimpin parti politik dsbnya. 

Kuasa mutlak (absolute power) terletak dalam tangan tuan-tuan. Bila sampai masa mengundi nanti jangan undi sesiapa pun parti politik atau ahli politik atau calon pilihanraya yang masih mahu kekalkan Akta Hasutan.

Jangan undi sesiapa pun yang tidak mahu merobah undang2 saman malu (Libel Laws) dalam negara kita.

Kepada pihak-pihak NGO, kepada anak-anak muda yang bakal menceburi politik, sila ambil tahu dan sila sedari  perkara-perkara yang sepatutnya dan yang sebenarnya yang patut dijadikan  perjuangan saudara.

Jangan membuang masa dengan perkara remah dan tidak berguna untuk mencari populariti. Serupa anak kucing mengejar ekornya untuk rasa seronok sendiri.

Dalam kerangka undang-undang negara kita masih terdapat akta dan enakmen undang-undang yang dangkal, zalim dan hanya menguntungkan orang besar dan orang yang pegang kuasa. Kita perlu tukar keadaan ini. 

The views expressed are those of the writer and do not necessarily reflect those of MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.