`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, August 18, 2021

Wanita dedah pandu uji MB tuntut RM3 juta daripada 3 pihak

 

Catatan oleh Nini Siron yang mendedahkan pandu uji di Juru membabitkan menteri besar Kedah. Wanita itu berkata, beliau berdepan banyak gangguan dan dihujani surat benci.

GEORGE TOWN: Seorang wanita yang mendedahkan pandu uji melibatkan menteri besar Kedah di Juru dua bulan lalu mengugut akan menyaman pembantunya, Harakahdaily dan seorang lagi individu atas dakwaan gangguan, pencerobohan privasi dan buli siber di media sosial.

Selain Harakahdaily, dua lagi pihak terbabit ialah Afnan Hamimi Taib Azamudden yang merupakan setiausaha politik Muhammad Sanusi Md Nor, serta Mohamad Solhi Mohd Sharif.

FMT sudah menghubungi mereka untuk mengulas.

Dalam surat tuntutan itu, Hanini Siron, yang lebih dikenali sebagai Nini Siron berkata, kenyataan yang dibuat tiga pihak itu selepas beliau mendedahkan tindakan Sanusi menyebabkan gangguan, pencerobohan privasi, pendedahan data peribadi dalam talian dan juga unsur buli siber.

Beliau mahu mereka memohon maaf dalam tempoh 48 jam dan setiap satu membayar RM1 juta kepadanya sebagai ganti rugi atas penghinaan, nama buruk, tekanan emosi dan pencerobohan data peribadi serta privasinya.

Wanita itu turut menuntut mereka berhenti membuat kenyataan lanjut mengenai dirinya dan memadam semua komen menyinggung perasaan dari platform media.

Beliau juga mahu permohonan maaf secara terbuka di Facebook, Twitter dan Instagram.

Peguamnya, Faizal Rahman berkata, surat tuntutan itu dihantar 13 Ogos lalu, tetapi tiada respons setakat ini.

Katanya, catatan yang dibuat tiga pihak itu menunjukkan Nini adalah pemutar belit, penipu dan hipokrit yang bertindak sebagai pengikut kehendak politik, yang membangkitkan komen dianggap sebagai buli siber dan gangguan daripada orang awam.

Dalam kenyataan di Facebook, Nini berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap tiga pihak itu untuk melindungi kepentingan diri dan reputasi keluarganya.

Terdahulu, Nini dilaporkan memadamkan akaun Facebooknya, yang digunakan eliau dan suaminya untuk menjual kenderaan dan insurans selepas diserang penyokong menteri besar itu.

Telefon bimbitnya juga terpaksa ditutup selepas dihujani mesej benci.

Katanya, ia menyebabkan beliau hilang punca pendapatan dengan nombor telefon dan gambar keluarganya dikongsi secara meluas di Facebook serta komen jahat.

Sementara itu, Afnan berkata, beliau masih belum menerima surat tuntutan daripada Nini. FMT telah menghubungi dua lagi pihak yang lain untuk mendapatkan komen. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.