`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, October 1, 2021

Remaja maut, kereta dipandu rakan tiada lesen langgar jentolak

 

Keadaan kereta yang dipandu lelaki berusia 19 tahun tidak berlesen selepas melanggar jentolak di Jalan Telok Gong, dekat Masjid Jamek, Klang hari ini. (Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat)

PETALING JAYA Seorang remaja maut selepas kereta yang dinaikinya melanggar sebuah jentolak di Jalan Telok Gong, dekat Masjid Jamek di Klang hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Shamsul Amar Ramli, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu kira-kira 12.15 tengah hari tadi.

Ketika kejadian, “bucket” jentolak yang dipandu seorang lelaki berusia 52 tahun dari arah Telok Gong menghala ke Klang, dilanggar kereta dipandu seorang lelaki berusia 19 tahun yang tidak mempunyai lesen memandu.

Katanya, kereta itu dipercayai dipandu laju dan memasuki laluan jentolak sebelum pelanggaran berlaku dekat Masjid Jamek.

“Akibat pelanggaran itu, remaja perempuan berumur 18 tahun di tempat duduk sebelah pemandu yang juga rakan sekerja pemandu meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu dan adik perempuan pemandu yang berumur 15 tahun dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR). Pemandu jentolak tidak cedera,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Shamsul Amar berkata, jenazah Nurshaniza Alaudin yang beralamat di Bandar Bukit Tinggi dibawa ke Jabatan Forensik HTAR.

“Proses bedah siasat ke atas mangsa akan dijalankan selepas keputusan ujian Covid-19 diperoleh.”

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis, berkata mangsa sudah dikeluarkan orang awam sebaik sahaja pasukannya tiba di tempat kejadian. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.