
PONTIAN: Bekas Perdana Menteri, Najib Razak menyifatkan sindiran seorang pemimpin DAP Johor yang mengatakan beliau berkempen pada pilihan raya negeri (PRN) Johor seperti calon Menteri Besar adalah tidak masuk akal.
Beliau menegaskan apa-apa yang dilakukan dalam kempennya ketika PRN adalah untuk Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Hasni Mohammad.
“Dia (Liew Chin Tong) ini tak masuk akal. Saya mana ada jadi calon (Menteri Besar Johor). Yang jadi calon adalah Hasni.
“Apapun saya buat adalah untuk Hasni. Bukan untuk diri saya. Apa dia cakap ini tak masuk akal. Dia ingat kita bodoh,” katanya ketika ditemui pemberita dalam satu kempennya di Benut.
Pada 3 Mac lalu, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong menyindir tindakan Najib yang turun berkempen pada PRN Johor seperti seolah-olah beliau adalah ‘poster boy’ dan calon Menteri Besar.
Liew berkata, sekiranya beliau menjadi Hasni, akan berasa malu dan sakit hati kerana tindakan dibuat Najib yang merupakan Penasihat BN itu dilihat ibarat lebih sudu daripada kuah.
Dalam pada itu, Najib berkata berdasarkan pertemuan-pertemuan dibuat di Johor, beliau melihat “mood” pengundi lebih terarah kepada BN.
Bagaimanapun, beliau tidak mahu membuat sebarang jangkaan mengenai keputusan pada 12 Mac ini.
“Apa keputusannya, yang penting fokus kerja kita beri penjelasan, agenda kita untuk rakyat dan menangkis fitnah serta tohmahan yang dibuat parti pembangkang,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.