`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, April 3, 2023

3 hari tiada bekalan air, 85 sekolah di Manjung tutup

 

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata, semua sekolah terjejas melibatkan kawasan Ayer Tawar, Sitiawan, Seri Manjung, Lekir, Kayan, Pangkor dan Lumut. (Bernama pic)

PETALING JAYA: Gangguan bekalan air di Manjung, Perak berlarutan sejak Jumaat lalu menyebabkan 85 sekolah di daerah itu terpaksa ditutup dan memohon cuti ganti, hari ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah, berkata semua sekolah terjejas melibatkan enam kawasan di daerah tersebut, lapor Bernama.

Katanya, sebanyak 34 sekolah ditutup di Ayer Tawar, 19 di Sitiawan, seluruh Seri Manjung (18), seluruh Lekir ke Kayan dan Pangkor masing-masing lima serta Lumut empat, melibatkan sekolah rendah, menengah dan jenis kebangsaan.

Ads by Kiosked

“Keputusan untuk menutup 85 sekolah hari ini adalah demi kebajikan dan kesihatan pelajar termasuk pendidik melalui permohonan cuti berganti dengan kelulusan Pendaftar Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak,” katanya pada sidang media selepas Majlis Iftar Ramadan dan Tarawih anjuran Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak.

Khairudin berkata, sekolah yang terlibat perlu ganti hari persekolahan hari ini kepada hari lain, kecuali jika bilangan hari persekolahan cukup 190 hari ke atas, maka tidak perlu ganti.

“Seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan, setiap sekolah diberikan empat hari cuti peristiwa, jika tidak ambil, maka cukuplah 190 hari sesi persekolahan, jadi esok mereka akan teruskan sesi persekolahan seperti biasa,” katanya.

Daerah Manjung dan Perak Tengah mengalami gangguan bekalan air akibat paip bocor di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Teluk Kepayang, Bota sejak Jumaat lalu menyebabkan sebanyak 79,360 akaun pengguna terputus bekalan.

Sementara itu, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Mohamad Nizar Jamaluddin, berkata bekalan air dijangka pulih sepenuhnya, sebelum 8 Apr.

“Pada masa ini kerja pembaikan sedang giat dijalankan oleh pihak kontraktor,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.