PETALING JAYA: Rakaman tular seorang lelaki bertempiaran lari dalam operasi basmi aktiviti ‘mat rempit’ di Jalan Jelapang, Ipoh, disahkan orang awam mengalami serangan panik, susulan kehadiran mengejut polis.
Dalam video pendek berdurasi 38 saat itu, lelaki yang memakai topi keledar itu berlari meninggalkan motosikalnya sehingga tidak menghiraukan seliparnya yang terlucut, dipercayai terkejut didekati anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB).
Ketua Polis Ipoh Yahaya Hassan, berkata kejadian berlaku semalam, kira-kira 3 pagi ketika sepasukan polis daripada cawangan penguatkuasa, bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik, IPD Ipoh menjalankan operasi selepas menerima aduan awam berlaku aktiviti lumba haram.
“Siasatan polis mendapati individu yang melarikan diri merupakan orang awam yang berasa panik dengan kehadiran polis secara mengejut dalam operasi itu.
“Sepanjang operasi dijalankan, polis mengeluarkan 49 saman trafik atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, operasi sama akan dijalankan secara berterusan di seluruh bandaraya itu untuk membanteras aktiviti lumba haram.
“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai video tersebut sehingga mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.