`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, April 25, 2023

Arah kiblat tepat perjuangan Khairul dua beradik

 

Persatuan Ahli Falak Negeri Selangor menggunakan teknologi terkini dan rujukan terpiawai bagi menentukan arah kiblat tepat.

PETALING JAYA: Selagi dikurniakan kudrat dan peluang, dua lelaki yang dikenali sebagai ‘Khairul dua beradik’ berhasrat memastikan setiap kediaman umat Islam di Selangor menunjukkan arah kiblat yang tepat.

Mempunyai latar belakang bidang pertanian dan kejuruteraan, Khairul Amin Hasan, 61, dan adiknya, Khairul Samad, 54, meninggalkan kerjaya profesional demi berkhidmat sebagai petugas arah kiblat rumah bersama Persatuan Ahli Falak Negeri Selangor (PAFNS).

“Memang minat bidang astronomi ini dah lama. Saya suka memerhati langit, bulan bintang. 12 tahun lalu kami bertemu dengan beberapa kenalan yang sama-sama minat dan kami tubuhkan satu kumpulan kecil buat aktiviti mencerap anak bulan.

“Kita berhasrat kalau boleh semua rumah dekat Selangor ini semua mempunyai arah kiblat yang tepat dan membuat orang lebih suka beribadah,” katanya ketika ditemui FMT.

Petugas arah kiblat bertauliah

Menentukan arah kiblat tepat melibatkan maklumat dalam dan luar kediaman.

Bercerita lebih lanjut, dua beradik ini berkata sebelum mendapat tauliah daripada pihak mufti, mereka perlu mempelajari ilmu asas berkenaan bidang falak, menjalani kursus dan latihan praktikal, serta menduduki ujian bertulis.

“Kursus-kursus itu melibatkan tentang kiblat itu sendiri, menentukan waktu solat kemudian kursus yang melibatkan asas astronomi, setelah menghadiri kursus itu, calon-calon yang nak menjadi pakar ini juga, perkara kedua yang dia kena buat ialah latihan praktikal,” kata Samad.

Bagi menentukan arah, mereka menggunakan data matahari iaitu cahaya dan bayang yang masuk ke dalam rumah, dan pengiraan dibuat menggunakan aplikasi yang dibangunkan khas untuk menentukan bacaan yang tepat.

Petugas arah kiblat akan mencari sumber cahaya yang paling terdekat dengan kediaman itu menggunakan pelbagai peralatan antaranya laser, tongkat bayang, dan pembaris.

“Masa kita kena buka waktu Sirim (Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia) yang menjadi standard waktu Malaysia. kita pergi ke laman sesawang Sirim dan masa itu yang kita gunakan. Tidak boleh tengok telefon atau jam di tangan atau di dinding.

“Kita perlu juga kepada koordinat iaitu lokasi tempat kita ambil bayang, menggunakan aplikasi yang dibangun khas,” katanya, sambil memaklumkan bayaran yang dikenakan untuk sekali perkhidmatan hanya RM70 satu rumah.

Ramai belum sedar arah kiblat tepat

Khairul Samad.

Mengulas lanjut, Samad berkata penggunaan kompas atau aplikasi bagi menentukan arah kiblat di rumah kadangkala menghasilkan bacaan yang berubah-ubah berikutan tarikan magnetik daripada perkakasan logam di rumah.

“Setakat ini saya dah buat lebih 830 rumah, yang arah kiblat dia sebelum saya datang buat semakan hanya dua rumah sahaja yang kebetulan tepat,” katanya.

Sementara itu, kakitangan kerajaan, Grace Aisyah Kedayan, 32, berkata, dia kini bertambah yakin untuk beribadah selepas mendapatkan khidmat PAFNS.

“Kita tak rasa was-was untuk solat. Selepas dah panggil ahli falak datang ke rumah lepas ini saya baru rasa lega. Selepas dah pasang arah kiblat saya semak saya punya aplikasi arah kiblat itu memang lari jauh.

“Saya saksikan bagaimana mereka bersungguh menentukan arah kiblat itu. Bukan kerja mudah mereka melakukan dengan banyak perkakas yang perlu digunakan. Tidak mahal, dengan RM50 ke atas kita dah boleh dapat arah yang betul,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.