PETALING JAYA: Seorang pesara tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM15,000 bagi tujuan mengeluarkan surat tawaran kerja membersih kawasan Kem 5 Briged, sembilan tahun lalu.
Azman Ariffin, 62, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Jason Anak.
Tertuduh didakwa menerima RM15,000 daripada seorang wanita sebagai upah untuk mengeluarkan surat tawaran kerja membersih kawasan Markas Briged Kelima Infantri, Kem Lok Kawi bagi tempoh kontrak antara 1 Jun 2014 hingga 31 Mei 2015, lapor Utusan Malaysia.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.
Berdasarkan pertuduhan itu, tertuduh boleh dijatuhi hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 atau mana-mana jumlah lebih tinggi.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000, deposit RM2,000 berserta seorang penjamin tempatan.
Tertuduh turut diperintahkan melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan manakala, pasport antarabangsa tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.