`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, April 23, 2023

Kasih merentas agama, raya pempengaruh ‘muka gangster’ istimewa kerana ibu

 

Kasih anak dan ibu tema kandungan TikTok Mikhael Sathayah, yang dikenali sebagai pemuda ‘muka gangster’ tapi sebenarnya ‘anak mak’.

PETALING JAYA: Kisah pemuda berimej ‘samseng’ tetapi sebenarnya ‘anak mak’ mendapat perhatian warganet sejak sebulan lalu, yang mengikuti video aktiviti beliau bersama ibu tersayang di TikTok.

Muhammad Mikhael Sathayah, 39, menjadi testimoni hidup bahawa kasih seorang ibu utuh dan berkekalan, walaupun berbeza agama.

“Selepas memeluk Islam hubungan menjadi lebih erat dengan ibu,” kata anak jati Tambun, Perak ini yang mengucapkan syahadah pada 2018. “Kisah hijrah saya ini juga saya ingin memberitahu kepada orang ramai untuk terus sayang kepada ibu kita walau apa pun yang berlaku.”

Seperti biasa macam lima Aidilfitri yang lepas, beliau akan beraya bersama M Muniamah – orang yang paling menyayanginya dan disifatkan sebagai ‘satu dalam sejuta’.

“Saya akan pakai baju Melayu dan ibu pakai baju tradisional India. Kita akan sambut raya bersama-sama,” katanya.

Ditanya perasaannya apabila mendapat tahu Mikhael mahu memeluk Islam, Muniamah, 72, mengakui beliau pada mulanya takut akan kehilangan anaknya itu.

Aktiviti Mikhael Sathayah bersama ibunya, M Muniamah, diikuti warganet di TikTok.

Tanggapan orang lain langsung tidak terlintas dalam fikirannya, hanya apakah anaknya itu akan meninggalkan ibunya.

“Mula-mula dia mahu masuk Islam, saya takut nanti masuk Islam saya tinggal seorang.

“Tetapi dia janji tidak akan tinggal saya. Kalau itu (Islam) buat dia gembira, saya gembira. Daripada kecil apa sahaja yang diminta, saya bagi,” katanya.

Video TikTok Mikhael yang paling banyak ditonton, mencecah 8.1 juta tontotan, menceritakan betapa Muniamah dikecam kerana menerima keputusan beliau memeluk Islam. Kebanyakan kandungan di akaun ini menampilkan Muniamah seperti berjalan-jalan dan makan bersama, di selang-seli adegan lucu mereka di rumah.

Sebarkan Islam melalui kasih sayang, kata Mikhael Sathayah.

Bagi Mikhael, mesej kasih sayang antara anak dan ibu yang cuba disebarkan menerusi kandungannya di TikTok. Beliau berharap populariti di TikTok akan menolong beliau membantu anak-anak yatim.

“Walaupun sering mendapat jemputan buat ulasan makanan tetapi ‘jalan’ itu masa ini masih tidak kena dengan hati saya,” katanya.

“Saya tetap orang yang sama seperti sebelum terkenal. Kalau dulu makan nasi kandar, sekarang pun masih makan nasi kandar. Saya mahu sebarkan Islam melalui kasih sayang.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.