`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, April 17, 2023

Peniaga rugi, penganjur karnival raya akur turun sewa

 

Orang ramai dikatakan ‘berhati-hati’ berbelanja sempena Aidilfitri tahun ini dan trend pembelian dilihat ‘hanya terhad untuk keperluan saja’. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kuasa membeli pengguna yang dilihat semakin berkurangan menyebabkan sesetengah penganjur tapak karnival jualan Aidilfitri tahun ini terpaksa menurunkan sewa lebih 50% untuk mengimbangi kerugian vendor.

Beberapa penganjur di sekitar Lembah Klang memberitahu FMT, peniaga mengeluh tidak mencapai sasaran jualan diharapkan kerana kekurangan pengunjung dan trend pembelian dilihat “hanya terhad untuk keperluan saja”.

Wakil karnival Hoorrey X Fest di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, Mohammad Alif Hakim, berkata gerai disewa pada harga RM12,000 diturunkan kepada RM5,000, manakala tapak berharga RM3,500 diturunkan kepada RM1,800 dan tapak lebih kecil yang berharga RM1,500 ditawarkan pada kadar RM900.

Ads by Kiosked

WTC antara lokasi sering menjadi tumpuan warga kota membeli persiapan raya, selain Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR).

“Kita menerima tekanan daripada vendor dan peserta yang takut jualan tidak capai sasaran mereka, jadi kita sewakan tapak dengan harga rugi,” katanya kepada FMT.

Karnival selama 72 jam bermula esok hingga malam raya itu menempatkan 250 ruang niaga, dengan 40 gerai jualan masih dibuka untuk peniaga berminat.

“Harap ini dapat bantu vendor, mungkin juga membantu pembeli berjimat dengan menjual barang pada harga ‘rahmah’.”

Wakil Karnival Jom Raya di Eco Grandeur Puncak Alam, Azrul Hakim, berkata pihaknya terpaksa menjual tapak berkeluasan 20 x 20 kaki persegi pada harga RM5,000 berbanding RM8,000 hingga RM10,000.

“Kami terpaksa lakukannya untuk kurangkan kerugian, itu pun tidak semua tapak disewa. Hanya 70% ruang niaga diisi.

Ads by Kiosked

“Hari biasa agak lengang dan (pengunjung) hanya ramai selepas solat Tarawih serta hujung minggu.”

Katanya, pembeli ketika ini dilihat “berhati-hati” berbelanja mungkin disebabkan kelembapan ekonomi dengan ada golongan yang baru bangkit daripada impak pandemik Covid-19.

“Mereka hanya beli barang perlu saja seperti pakaian dan kuih, tak macam dulu orang berbelanja besar untuk barang lain seperti hiasan rumah,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.