KUALA SELANGOR: Potensi sampah sebagai rezeki tersingkap di depan mata Mazli Maseka ketika beliau tercari-cari peluang baharu demi kelangsungan hidup, apabila bengkel basikalnya kurang dapat sambutan ekoran pandemik Covid-19.
Pada suatu hari kira-kira empat bulan yang lalu, usahawan cekal ini mempertaruhkan modal dan tenaga untuk mengisi ketiadaan perkhidmatan kutipan sampah dari rumah ke rumah di kampung-kampung sekitar pekan Tanjong Karang.
Idea itu muncul ketika Mazli, 42, sedang membakar sampah di rumah – amalan lazim di kampung-kampung lagi-lagi apabila tong sampah awam terletak jauh.
“Biasanya sampah harian, saya akan bakar sahaja kerana nak buang di tong sampah agak jauh, itu yang terfikir nak buat kerja ni,” katanya kepada FMT.
Tiga kali seminggu dari pagi hingga ke petang, Mazli menelusuri jalan-jalan desa dengan van Nissan Vanette biru mudanya untuk mengutip sampah, meliputi 35 rumah di 11 kampung. Kutipan itu kemudian akan dibuang di tong sampah awam.
“Ada pelanggan saya berkerusi roda dan orang tua yang tidak mampu buang sampah di kawasan yang disediakan kerana jarak yang jauh,” katanya.
Susulan penangan Covid-19, Bagi Mazli perniagaan bukan lagi tentang duit semata-mata. Ia juga cara membantu penduduk setempat dan membolehkan beliau menjaga ayah yang sudah tua.
Beliau juga memberikan secara percuma tong sampah berkapasiti 90 liter, palet berwarna, dan plastik sampah yang akan diganti ketika kutipan.
Berapakah bayaran yang Mazli kenakan untuk perkhidmatan ini? RM50 sahaja setiap bulan.
“Kalau ikutkan bulan pertama tak ada gaji, sebab harga tong sampah RM63.50. Bulan kedua dah OK kerana dapat gaji bersih,” katanya, dan menambah harga munasabah menguja permintaan daripada masyarakat setempat.
“Kalau mereka lihat perkhidmatan saya ini, tak mahal, tak murah sangat.”
Dalam pada itu, Mazli mendedahkan semua pelanggannya sedar tentang keperluan mengasingkan jenis sampah, sama ada untuk dibuang atau dikitar semula.
Beliau juga berharap pihak berkuasa tempatan akan menyediakan lebih banyak tempat membuang sampah di kampung-kampung di Tanjong Karang. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.