`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, April 16, 2023

Sekolah rosak dilanda ribut, pelajar diberi cuti awal

 

Keadaan SK Ujong Batu, Kangar rosak teruk selepas bumbung diterbangkan ribut petang tadi. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Cuti sekolah sempena Aidilfitri bagi pelajar Sekolah Kebangsaan Ujong Batu, Jalan Mengkuang Layar, Kangar diawalkan selepas bumbung bangunannya musnah akibat diterbang ribut, petang tadi.

Selain sekolah itu, 19 rumah turut rosak dalam kejadian ribut yang melanda daerah Kangar dan Arau pada 2.50 petang.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Naharudeen Othman, berkata ribut serta hujan lebat melanda kawasan sekolah menyebabkan keseluruhan bumbung di bangunan dua tingkat itu terbang dan bertaburan termasuk kawasan kejiranan berhampiran.

“Oleh itu, langkah kecemasan diambil selepas berbincang dengan pihak sekolah adalah memberi cuti pada 17 dan 18 April atas aspek keselamatan dan bilik darjah terkesan.

“Cuti awal itu kemudian diikuti dengan cuti sekolah sempena Aidilfitri dan kerja pembaikan dan pembersihan akan dilaksanakan pada tempoh itu,” katanya menurut Harian Metro.

Katanya, sekiranya keadaan bumbung di bangunan sekolah itu belum dibaiki sepenuhnya apabila sesi persekolahan dibuka kelak, maka pihaknya akan menggunakan kelas khas untuk sementara waktu bagi meneruskan sesi pembelajaran.

Sementara itu, Urusetia Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perlis dalam kenyataan berkata, sebanyak 23 kes kerosakan dilaporkan sehingga jam 6 petang tadi.

Katanya, ia membabitkan kediaman, bangunan sekolah, premis perniagaan dan gerai penjaja terutama yang sedang menjalankan perniagaan di bazar Ramadan di kawasan terbabit.

“Pada masa ini pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis (JKM) dan Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) sedang giat mengumpulkan maklumat mangsa yang terbabit bagi tujuan penyaluran bantuan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.