`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, April 22, 2023

‘Setiap saat rindu,’ ibu mangsa tragedi Batang Kali sayu

 

Siti Esah Hassan (kanan) menunjukkan gambar Nurul Azwani, yang terkorban dalam tragedi Batang Kali. Bersamanya adik mangsa, Nurhazita, dan dua anaknya.

PETALING JAYA: Rindu tanpa noktah, perasaan itulah yang menghambat Siti Esah Hassan, ibu kepada korban tanah runtuh Batang Kali, Nurul Azwani Kamarulzaman.

Bagi Esah, 54, Ramadan dan Aidilfitri tahun ini terasa kosong tanpa anak sulungnya, ujarnya berselindung di sebalik senyuman. Sehingga kini masih terngiang-ngiang suara arwah memanggilnya.

“Jadi saya cuba kuatkan semangat walaupun tak boleh nak lupa dia. Setiap saat memang terbayang wajah dia, tengok pakaian dia tengok motosikal dia, saya memang tak boleh lah…sedih,” katanya sambil menahan sebak.

Mengenang Aidilfitri ketika Azwani masih ada, Esah berkata setiap kali hari raya arwah antara individu yang paling teruja dan sibuk membuat persiapan.

Esah berkata dia dan arwah setiap tahun akan pulang ke Pasir Puteh, Kelantan, dan kehadiran Azwani sentiasa dinanti kerana sifatnya yang periang sentiasa memeriahkan suasana.

“Dari segi makan, kalau hari raya dia yang paling sibuk, kami raya di kampung rumah mak saudara, sibuklah dia dengan juadah hari raya, dia berhidang, buat air untuk orang lepas balik sembahyang raya akan terus ke rumah dan makan. Dia lah paling sibuk,” ujar Esah.

Siti Esah Hassan, 54, menahan sebak tatkala mengenang kenangan bersama arwah anak sulungnya, Nurul Azwani Kamarulzaman mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh Batang Kali.

Sanggup tak kahwin nak jaga mak

Luah Esah, arwah sentiasa berada di sisinya malah ketika hayatnya Azwani pernah berkata dia sanggup tidak berkahwin demi menjaga ibunya.

“Dia kata kalau dia kahwin siapa nak jaga mak? Allah! Saya kata jangan fikir ke situ. Orang lain ada lagi, fikir masa depan. Saya kata masa depan dia jauh lagi,” kata Esah yang kini menetap bersama anak keduanya, di Kampung Batu 5, Kuala Lumpur.

Bagi adik bongsu arwah, Nurhazita, 25, seminggu sebelum kejadian Azwani meluah rasa rindu pada ayah mereka yang meninggal dunia pada Mei tahun lalu.

“Orang sekeliling, macam kawan dia, perasan dia itu macam sedih, murung dalam seminggu sebelum,” katanya.

Esah melihat kembali keratan akhbar memaparkan laporan kejadian tanah runtuh di Batang Kali, yang turut mengorbankan nyawa anak sulungnya, Nurul Azwani.

Menurutnya, Azwani disifatkan sebagai anak dan kakak yang bertanggungjawab dan banyak berkorban untuk keluarga, justeru selepas pemergian arwah, Hazita berazam untuk menjaga ibu mereka sebaik mungkin.

“Dia banyak tolong juga dari segi kewangan. Dulu masa belum kahwin, cari kerja, bujang lagi, bila tiada duit pinjam dengan dia. Dia senang dan tak berkira pasal duit. Bila dia tiada ini rasa macam boleh ke nak jaga mak macam dia jaga?” kata Hazita.

Azwani, 31, yang merupakan pekerja kantin di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong, antara 92 mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 16 Dis tahun lepas. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.