`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, July 2, 2023

PRN: Zahid harap ‘bekas komponen’ Sarawak bantu kempen BN

 

Zahid Hamidi berkata, agenda kestabilan politik di Sarawak diterajui GPS mahu dijadikan contoh kepada jentera BN semasa berkempen kelak.

PETALING JAYA: Zahid Hamidi mempelawa “bekas parti komponen” Barisan Nasional di Sarawak turun padang membantu calonnya berdepan PRN.

Pengerusi BN itu berkata, agenda kestabilan politik di Sarawak diterajui Gabungan Parti Sarawak (GPS) mahu dijadikan contoh serta diguna pakai oleh jentera gabungan berkenaan semasa berkempen kelak.

“Saya telah berbincang dengan Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi untuk membawa tokoh daripada GPS bagi membantu kempen di enam negeri… insya-Allah, (Pengerusi GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg sendiri akan pilih siapa yang akan turun untuk bantu kita dalam PRN nanti,” katanya memetik Bernama.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Merarau Ngiling Tikai anjuran Parti Rakyat Sarawak (PRS), di Sri Aman.

GPS dibentuk beberapa bulan selepas PRU14 susulan kejatuhan BN buat pertama kali sebagai kerajaan pusat, pada 2018. Empat parti komponen BN di Sarawak mengisytiharkan keluar gabungan itu bagi membentuk gabungan baharu berteraskan parti tempatan.

Selain PRS, GPS dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), dan Parti Demokratik Progresif. Tindakan keluar empat parti berkenaan menguburkan BN Sarawak yang terbentuk sejak 45 tahun.

Dalam pada itu, Zahid berkata, pemimpin politik seharusnya membawa agenda penyelesaian masalah rakyat yang boleh dilaksanakan lebih baik dengan keadaan politik yang stabil.

“Saya yakin pengalaman PRN di Sarawak boleh kami (BN) pinjam untuk diguna pakai agar kestabilan Sarawak boleh dipelajari di enam negeri itu nanti…sebagai contoh, kepimpinan Abang Johari menyantuni semua parti di Sarawak dengan baik.

“Ini patut diikuti di Semenanjung, jangan main terlalu banyak isu perbezaan pendapat dan timbulkan fitnah yang boleh meresahkan rakyat serta timbulkan isu keagamaan,” katanya.

Pada majlis itu, Zahid yang juga timbalan perdana menteri merangkap menteri kemajuan desa dan wilayah, turut mengumumkan peruntukan RM300 juta untuk menaik taraf jalan Ulu Skrang yang berbatu kepada jalan raya berturap serta RM5.76 juta bagi membina jambatan baharu konkrit di Nanga Entalau. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.