`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Thursday, August 31, 2023

Apabila kita percaya apa yang kita nak percaya

Portal berita Malaysiakini melaporkan seorang ahli perniagaan bernama Andrie Ung Han Xian tampil mengaku beliau lah orangnya yang membawa sekumpulan kanak-kanak berjubah hijau dan berserban putih ke konsert Kepci Muzik Fest 26 Ogos lalu di Shah Alam.

Ung dilapor berkata kanak-kanak itu dari Madrasah wa Tahfiz al Quran Rohingya di TTDI Jaya. Mereka katanya anak pelarian Rohingya yang hampir tidak tahu langsung berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Pun begitu oleh kerana mereka dari madrasah tahfiz mereka ialah pelajar tahfiz.

Selain anak-anak Rohingnya itu, Ung bersama rakan-rakannya mengumpul 700 anak yatim untuk dibawa menonton konsert berkenaan yang pada pendapatnya berhemah “kerana turut melibatkan persembahan Siti Nurhaliza yang bertudung” di samping memberi peluang anak-anak itu merasa kemeriahan acara. Setuju atau tidak terpulang interpretasi masing-masing.

Apa pun yang hangat dibicarakan ialah kehadiran pelajar tahfiz di konsert. Apabila video memaparkan mereka tular, penganjur menerima kecaman termasuk daripada pemimpin parti politik. Ada pihak mengecam kerajaan hanya kerana perdana menteri dan isteri hadir pada konsert itu yang diadakan sempena ulang tahun ke-50 syarikat rangkaian makanan segera KFC.

“Saya ingin menyatakan pihak KFC dan kerajaan tidak terbabit sama sekali dengan kehadiran pelajar tahfiz pada hari tersebut dan mereka juga tidak diberi sebarang makluman mengenai perkara berkenaan,” Malaysiakini lapor Ung berkata. Saya tidak tahu sama ada pihak yang menyalahkan kerajaan masih berbuat demikian atau sudah berpuas hati dengan penjelasan ahli perniagaan itu.

Sebelum saya menulis artikel ini saya baca laporan berita yang memetik bekas menteri Mujahid Yusof berkata bekas pemimpin Dewan Ulama PAS Ahmad Dusuki Abd Rani “akhirnya akur bahawa aset Tabung Haji tidak dijual kepada orang bukan Islam”.

Ini katanya selepas Dusuki menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan Putrajaya dalam kes saman fitnah yang dikemukakan, “maka berakhirlah sudah episod fitnah yang sekian lama diputarkan”.

Sesungguhnya tuduhan aset Tabung Haji dijual kepada orang bukan Islam banyak diperkatakan dalam kalangan orang Melayu sebelum ini. Ada yang menolak dakwaan itu tetapi ada yang pilih untuk dengar dan percaya apa yang mereka mahu dengar dan percaya. Meskipun tuduhan sedemikian pada hemat saya sesuatu yang tidak logik dan mudah untuk tidak dilayan.

Beberapa hari lalu Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kesal tersebarnya tuduhan kononnya 200 sekolah tahfiz di Selangor diarah tutup. Lantas baginda mahu polis mengesan kumpulan pemfitnah yang menyebarkan dakwaan itu.

“Golongan ini perlu segera memberhentikan perbuatan khianat dan tidak bertanggungjawab ini dan andai kata mereka meneruskan perbuatan fitnah dan khianat ini beta mohon pihak polis segera mengesan kumpulan pemfitnah ini dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka”, titah baginda.

Golongan pemfitnah, walau siapa mereka, tentunya ada agenda tersendiri termasuk keuntungan politik. Namun yang menghairankan dan menyedihkan ialah ada kalangan orang Melayu yang menelan fitnah yang dilemparkan. Saya hairan bagaimana mereka boleh percaya negeri seperti Selangor atau mana-mana negeri menutup sekolah agama. Amat tidak masuk akal dan mustahil. Tetapi apabila ada yang percaya saya bertanya sekali lagi adakah mereka mahu percaya apa yang sememangnya mereka mahu percaya?

Bertitah pula Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, fitnah dan menyemaikan rasa benci kini semakin mempengaruhi pemikiran dan pendirian ummah yang mendorong kepada pertelingkahan, keretakan hubungan, dan perpecahan.

Benar titah baginda. Saya ulangi apa yang saya pernah katakan menerusi satu artikel saya di portal berita ini dua minggu lalu bahawa “we are but a divided nation”. Tidaklah sampai pertumpahan darah tetapi hubungan semakin renggang bukan sahaja antara orang Melayu dengan orang bukan Melayu tetapi juga Melayu dengan Melayu kerana perbezaan politik. Sang politikus membakar sentimen bangsa dan agama sebagai jalan pintas untuk merebut kuasa. Ramai dalam kalangan kita yang sudah tidak boleh setuju untuk tidak setuju, dan ya, mahu dengar dan percaya apa yang mahu didengar dan percaya.

Kata Tawfik Ismail, anak Dr Ismail Abdul Rahman timbalan perdana menteri Malaysia yang kedua, isu masa kini mengenai bangsa dan agama terbitnya daripada maklumat tidak tepat atau misinformation yang disalurkan kepada rakyat.

Ads by Kiosked

“Sebab banyak masalah mengenai bangsa dan agama ialah soal penerangan, matter of knowledge, apa yang diberitahu dan apa yang diproses dalam minda,” kata beliau.

Menurut Sultan Perak, ikatan persaudaraan dan perpaduan dalam kalangan umat Islam akan sentiasa diuji dengan pelbagai perkara yang akhirnya membawa kepada perpecahan dan persengketaan.

Dengan fitnah dan penyemaian rasa benci yang baginda huraikan tadi, umat Islam titah Sultan Perak sewajibnya memilih untuk melihat elemen persamaan yang berupaya membina perpaduan ummah dalam semangat biduk lalu kiambang bertaut.

Nasihat baginda bagi saya boleh diadaptasi dan diterjemahkan dalam konteks rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama demi negara.

Selamat Hari Kebangsaan Malaysia. - FMT

Ads by Kiosked

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.