`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Wednesday, August 30, 2023

Setiap urusan dibuat secara telus, Wavpay perjelas urusniaga e-dompet Selangor

 

Wavpay terpilih sebagai rakan dalam inisiatif e-dompet dan pembayaran tanpa tunai Selangor selepas melepasi tatacara usaha wajar yang ketat, kata CEO Brahma Shakthi.

PETALING JAYA: Semua keperluan, termasuk pematuhan peraturan, komposisi ekuiti, dan tadbir urus korporat telah dipenuhi bagi pelaburan kerajaan Selangor dalam Wavpay Fintech Holding Sdn Bhd (Wavpay), kata CEO Brahma Shakthi dalam kenyataan.

Brahma menjelaskan syarikatnya menyahut permintaan untuk cadangan (RFP) daripada Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI) pada 15 Julai 2020, bagi suatu rancangan yang akan membawa Selangor menjadi negeri pintar terulung menjelang 2025.

Matlamat itu dicapai menerusi peralihan sistem pembayaran kerajaan negeri daripada kaedah konvensional kepada pembayaran digital melalui e-dompet.

Brahma berkata Wavpay Fintech menyertai beberapa sesi pembentangan dari Julai 2020 sehingga Jun 2021, di mana ia dinilai secara menyeluruh.

Ia juga perlu melepasi beberapa pusingan tatacara usaha wajar (due diligence) sebelum disenarai pendek untuk pembentangan terakhir pada 11 Jun 2021.

Brahma berkata pada 28 Jun 2021, Wavpay secara rasmi dimaklumkan oleh anak syarikat MBI, Selangor E-Wallet Sdn Bhd (SEW), bahawa ia terpilih sebagai rakan inisiatif e-dompet dan tanpa tunai kerajaan negeri.

Seterusnya, syarikatnya perlu melepasi proses penilaian kedua dari Ogos 2021 hingga Februari 2022, yang mana suatu tatacara usaha wajar yang ketat dijalankan oleh badan audit bertauliah.

“Proses itu melibatkan pemeriksaan dari segi teknologi, komersial, kewangan, percukaian, dan undang-undang,” katanya.

Apabila selesai proses usaha wajar itu, SEW memperolehi 49% kepentingan dalam Wavpay Fintech Holding Sdn Bhd yang termasuk anak-anak syarikat.

Proses mengatur usahasama antara Wavpay dan SEW itu turut diperincikan dalam sidang Dewan Negeri Selangor pada Ogos 2022.

“Ini menandakan komitmen Wavpay pada ketelusan dan kebertanggungjawaban,” kata Brahma menjawab dakwaan salahlaku yang tular di media sosial.

Beliau berkata sebelum pelaksanaan perjanjian dengan SEW itu, modal berbayar anak syarikatnya, Wavpay Systems Sdn Bhd dan Wavpay Credit Sdn Bhd, masing-masing adalah RM9.04 juta dan RM1.1 juta.

“Jumlah ini gambaran langsung peruntukan ekuiti yang dipersetujui oleh SEW, iaitu sebanyak 49% pemilikan dalam Wavpay,” katanya.

Brahma menegaskan syarikatnya secara konsisten mematuhi semua keperluan-keperluan dalam rangka kerja kawal selia.

“Wavpay Systems dan Wavpay Credit telah pun memperoleh kelulusan dan lesen yang diperlukan untuk operasi masing-masing,” katanya.

Wavpay Systems penerbit e-money yang diluluskan oleh Bank Negara untuk mengendalikan e-dompet manakala Wavpay Credit beroperasi sebagai peminjam wang berlesen mengikut Akta Pemberi Pinjam Wang.

Berkenaan persoalan tentang pembahagian ekuiti antara kerajaan Selangor dan pemegang saham majoriti, Brahma berkata dakwaan yang mempersoalkan pemegang saham korporat utamanya, CT Frank Technology (M) Sdn Bhd, adalah tidak berasas dan tidak berasaskan fakta.

Beliau menjelaskan Frank Group of Companies, yang memiliki CT Frank Technology (M) Sdn Bhd, melaporkan keuntungan kumulatif sebanyak RM75.6 juta dalam kumpulan dalam dekad sejak 2012.

“Kami mengambil maklum persoalan-persoalan yang disuarakan beberapa pihak dan ingin sekali lagi menegaskan komitmen kami yang tidak berbelah bahagi pada tahap ketelusan, kebertanggungjawaban, dan urus tadbir korporat yang tertinggi,” kata Brahma.

“Dakwaan-dakwaan terhadap Wavpay Fintech Holding dan anak-anak syarikat tidak berasas sama sekali. Kami sekali lagi menegaskan dedikasi pada mengekalkan kepercayaan para pemegang taruh kami dan orang ramai,” tambahnya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.