Sekeping foto, kata pepatah, bernilai seribu perkataan. Tapi dalam kes Ikmal Hisham Abdul Aziz, sekeping foto seolah-olah beliau menghisap vape dalam dewan Parlimen baru-baru ini mungkin mengundang sejuta sangkaan tidak baik.
Ahli Parlimen Tanah Merah itu merujuk kepada foto yang tular di aplikasi X sejak seminggu lalu – dan belum lagi diturunkan sehingga rencana ini ditulis — telah dilihat lebih satu juta pengguna. Satu juta? Patutlah ramai yang tergila-gila memuat naik apa saja kandungan di pelbagai platform atau aplikasi media sosial untuk menarik perhatian ramai. Cuma, kadang-kadang mereka sangat cuai dan tidak fikir apa kesannya kepada individu yang dijadikan ‘bahan’ hanya kerana tiadanya sebarang tapisan.
Ikmal umpamanya berasa dirinya telah dimangsakan susulan satu hantaran sekeping foto yang menunjukkan beliau seakan-akan sedang menghisap vape di dewan Parlimen ketika ahli-ahli Parlimen pembangkang sedang keluar beramai-ramai 19 September lalu.
Foto itu dirakamkan jurugambar Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Sadiq Asyraf, sewaktu kecoh di tengah-tengah penggulungan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 selepas berlaku pertikaman lidah di antara perdana menteri dan Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin, hingga pembangkang memilih untuk meninggalkan sidang.
Hantaran foto oleh @sadiqasyraf itu turut menyertakan kapsyen “Betul betul koyak terus tarik vape sambil keluar dewan”.
Ikmal menafikan dakwaan menghisap vape di Dewan Rakyat seperti yang dicadangkan oleh foto itu, sebaliknya mendakwa apa yang dipegangnya ketika itu dan kemudian diacukan ke mulutnya hanyalah sebatang pen.
“Bagi saya ini satu jenayah, sebab tanpa usul periksa dia terus tuduh orang hisap vape. Vape ni ada asap, tapi yang ini tak ada asap,” beliau dipetik berkata.
Susulan itu, pegawai-pegawainya membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. Namun, tiada siasatan diteruskan seperti dijelaskan Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid: “Daripada klasifikasi kami, tiada elemen jenayah dalam hal ini.”
Hanya sebagai perbandingan, Hishamuddin Hussein yang ketika itu anggota Kabinet turut dirakamkan menghisap vape di Dewan Rakyat pada 3 Ogos 2020. Satu klip video berdurasi lapan saat itu menunjukkan Hishammuddin ‘curi-curi’ menghisap vape di sebalik pelitup muka ketika Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong sedang berbahas. Hishammuddin kemudian memohon maaf kepada Dewan Rakyat atas kesalahannya dan membayar denda.
Tapi, seperti dibangkitkan oleh Ikmal, kedua-duanya tidak sama kerana Hishammuddin mengakui kesalahannya sedangkan beliau sendiri tidak berbuat yang sama dan tidak dibuktikan melakukan kesalahan itu tapi dirinya tidak mendapat pembelaan sepatutnya.
“Apa hal saya nak hisap vape di tengah khalayak, tak kan saya sebodoh itu sedangkan saya memang tak merokok dan hal ini ramai yang tahu. Saya cuma acukan pen di bibir secara spontan dan ketika itu foto saya diambil,” katanya dalam satu temu bual.
Malah, beliau juga sudah menghantar satu memo penjelasan kepada setiausaha Dewan Rakyat susulan satu surat pada 21 September yang menuntutnya berbuat demikian berkaitan perbuatan dikatakan menghisap vape itu.
Satu hantaran sekeping foto deretan pen dengan kapsyen “Untuk penggemar pen. Pen di MYDIN tak sesuai untuk dihisap ya” oleh @MydinMalaysia pada 22 September sekadar menambah resah Ikmal yang berasa dirinya dipersendakan.
“Semua ini menambah tekanan kepada saya dan keluarga. Anak saya juga menerima usikan rakan-rakan seolah-olah saya seorang Ahli Parlimen yang tak jujur. Kawan lama yang dah lama tak berhubung pun tiba-tiba hantar mesej bertanya betul ke saya hisap vape di Parlimen. Kawan itu hairan kerana dari dahulu saya diketahui tak merokok,” jelasnya.
Ketika rencana ini ditulis, Ikmal sudah menghantar surat tuntutan peguam kepada jurugambar terbabit dan satu pertemuan sedang diatur polis untuk kedua-duanya bersemuka. Cuma, persoalannya mengapa sampai perlu kemukakan saman sedangkan ia mungkin dilihat salah faham kecil dan bukan pun satu perkara besar.
Ada banyak lagi isu harian membabitkan pelbagai permasalahan rakyat yang memerlukan perhatian Ahli Parlimen berbanding isu ini yang sebenarnya remeh tapi terus mendapat liputan berhari-hari lamanya.
“Orang mungkin tak akan faham melainkan mereka berada di tempat saya. Saya bukan nak cari duit atau publisiti daripada hal ini. Kalau saya tak buat begini, apa ruang yang saya ada untuk bersihkan nama?
“Saya hanya nak isu ini berakhir dan tidak lagi dipanjang-panjangkan. Sekurang-kurangnya saya nakkan penutup yang adil kepada saya. Jika dia (Sadiq) mengakui kesilapannya, turunkan foto itu dan minta maaf, saya anggap semuanya selesai,” katanya. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.