`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, September 25, 2023

PRK: PH-BN tiada lagi laluan mudah

 

Zahid Hamidi kata Barisan Nasional (BN) tak akan ambil mudah cabaran pada PRK Pelangai 7 Oktober. Tak ambil mudah maknanya ia satu pertandingan yang BN jangka mudah untuk menang.

Cuma ia tak mahulah bersenang-lenang supaya kemenangan yang dirasakan sudah dalam tangan dapat dipastikan.

Presiden Umno itu tak boleh dipersalahkan. Sesiapa pun di tempatnya akan berasa yang sama dengan keyakinan tinggi melangit. Lagipun, atas kertas, DUN Pelangai adalah kubu kuat BN.

Mereka menguasai kerusi itu sejak PRU7 pada 1986 lagi. Ringkasnya, penduduk di kawasan itu hanya diwakili BN sejak sekian lama dan cuma parti itu yang mereka yakini.

Pada PRU15, BN menang pertandingan empat penjuru ketika itu dengan majoriti selesa 4,048 undi melalui Allahyarham Johari Harun. Calon BN itu mendapat 7,308 undi, calon Perikatan Nasional (PN) 3,260, calon Pakatan Harapan (PH) 2,031, manakala calon Pejuang hanya 65 undi.

Dicampurkan kedua-dua undi BN dan PH, jumlahnya ialah 9,339 atau 73.74% daripada undi keseluruhan. Mengikut kira-kira mudah seperti itu, calon BN Amizar Abu Adam yang juga ahli jawatankuasa Umno bahagian Bentong harus tidak mempunyai masalah untuk menang DUN Pelangai.

Lantas melanjutkan lagi penguasaan BN terhadap kerusi itu yang kini mempunyai 16,456 pengundi berdaftar. Tapi kira-kira atas kertas hanya boleh jadi bayangan dan tak semestinya tepat. Banyak perkiraan lain perlu turut diambil kira, antaranya peratus keluar mengundi dan ‘trend’ pengundi yang dikatakan sudah banyak berubah selepas PRU15.

Tidak terkecuali keputusan PRN enam negeri 12 Ogos lalu yang menunjukkan kecenderungan berbeza, terutama di kawasan majoriti Melayu. Menuju ke PRK kali ini, Umno sudah pun dikocakkan sedikit oleh protes ahlinya, Haslihelmy DM Zulhasli.

Ads by Kiosked

Tidak bersetuju dengan pemilihan calon, Haslihelmy yang juga presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) akan bertanding sebagai calon Bebas atas apa yang didakwanya kerana pucuk pimpinan Umno Bentong meletakkan Amizar yang dikatakannya calon “kitar semula”.

Amizar, dakwanya, ditolak sebab pernah kalah ketika bertanding di peringkat bahagian selain calon yang mudah ‘ditarik telinga’ oleh pucuk pimpinan.

Apa yang dimaksudkannya itu barangkali hanya beliau yang tahu dan tidak dapat dipastikan sama ada pandangannya itu turut mewakili pengundi di Pelangai. Penolakan kepada pemangku ketua Umno Bentong Mohamad Zaini Salleh sebagai calon, yang dikatakan mewakili suara anak Pelangai, didakwa Haslihelmy sebagai bermakna suara akar umbi tidak langsung didengar.

Kepimpinan Umno mungkin mahu meremehkan protes Haslihelmy, yang sudah digugurkan keahliannya serta-merta kerana menjadi calon Bebas, tapi pengaruhnya kepada penduduk tempatan hanya boleh dilihat pada hari pengundian.

Penganalisis politik pula nampaknya ada sedikit percanggahan pendapat. Sambil Azmi Hassan dari Akademi Nusantara melihat kerajaan perpaduan akan berdepan kesukaran sekiranya kekuatan PN sudah mencapai kemuncaknya, Felo Penyelidik Ilham Centre Mujibu Abd Muis menjangkakan BN tidak akan berdepan masalah untuk mempertahankan kerusi berkenaan, tambahan pula kali ini PH menjadi sekutu mereka.

Mempertahankan penilaiannya itu adalah berdasarkan keputusan PRK Pulai dan Simpang Jeram, 9 Sept lalu, Azmi berkata PN masih mampu mendapat 9,000 lebih undi berbanding PRU15 walaupun jumlah keluar mengundi rendah, iaitu cuma 47.33%.

Ads by Kiosked

“Jika PN dapat mengekalkan kedudukan terbaik mereka dalam mengumpulkan pengundi Melayu, maka ini sangat bahaya bagi kerajaan perpaduan seperti yang terbukti di Pulai. Kerusi Pelangai memiliki majoriti Melayu lebih dari 70%, yang akan meletakkan BN dan PH dalam bahaya jika kemuncak (kekuatan PN) ini kekal,” katanya.

Mujibu, yang menyimpulkan PRK Pulai/Simpang Jeram menunjukkan PH-BN selesa mempertahankan kerusi terbabit dan menafikan kemaraan ‘Gelombang Hijau’ di Johor, turut menjangka penerimaan kerjasama PH-BN sebagai kerajaan perpaduan akan kekal tidak berubah di Pelangai.

Seterusnya, sama seperti PRK Pulai/Simpang Jeram, PRK Pelangai akan banyak berkisar kepada peratusan keluar mengundi di samping margin peralihan undi antara parti dalam kalangan pengundi Melayu memandangkan persaingan merebut undi kelompok ini tidak akan terpecah kepada tiga.

Haslihelmy pastinya tidak bersetuju dengan pandangan itu. Bukan setakat mahu jadi pengacau, beliau sebaliknya bertegas penyertaannya sebagai calon adalah untuk menang. Atas tiket Bebas, itu keajaiban yang tidak berkemungkinan. Memadailah sekadar menyuarakan protes.

Mazlan Ali, penganalisis dari Universiti Teknologi Malaysia, pula berkata PN, yang telah mencapai “kemuncak” menerusi penggunaan retorik perkauman dan agama dalam PRN enam negeri lalu, akan menghadapi kesulitan jika hanya memberi tumpuan kepada orang Melayu. PH dan BN pula, tambahnya, perlu memenangi sekurang-kurangnya 30% undi Melayu dalam setiap kawasan majoriti Melayu untuk terus mendominasi politik negara.

PRK Pelangai dijangka terus mengetengahkan isu kerjasama BN dan DAP sebagai modal PN untuk terus mengajak pengundi Melayu – dengan majoriti lebih 70% — menolak gabungan berkenaan. Lebih-lebih lagi, PRK ini meluangkan buat mereka untuk menebus kekalahan pada PRK Pulai/Simpang Jeram, kedua-duanya kepada calon Amanah.

Ads by Kiosked

Ia akan menarik juga untuk dilihat jika Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mahu menggunakan tempoh kempen sehingga tengah malam 6 Oktober ini sebagai peluang untuk menepis tanggapan dirinya semakin hilang peranan tertinggi dalam gabungan pembangkang.

Bekas Bendahari Umno Salleh Said Keruak membuat andaian itu baru-baru ini susulan tindakan Presiden Pas Abdul Hadi Awang mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad — menonjolkan bekas perdana menteri dua kali itu sebagai pemimpin de facto –dalam keghairahan Pas meneruskan momentum “Gelombang Hijau”.

Muhyiddin, yang terkesan dengan kekalahan PN dalam PRK Pulai/Simpang Jeram harus melihat PRK ini menawarkannya satu lagi peluang, apatah lagi DUN Pelangai mempunyai tiga daerah mengundi kawasan Felda di Kemasul, Sungai Kemahal dan Chemomoi yang majoritinya pengundi Melayu. Berbanding PH-BN yang hanya pandai menabur janji kosong, kata Muhyiddin, PN terbukti mempunyai rekod yang baik dalam membela nasib rakyat.

“Sudah 10 bulan berlalu, masalah kekurangan bekalan telur telah melarat kepada masalah kekurangan beras tempatan. Rakyat hendak makan pun susah. Ini berbeza dengan dasar PN yang mengutamakan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

‘Perang’ di pentas-pentas ceramah mungkin masih di peringkat awal tapi seperti kata Zahid, BN tidak boleh dialpakan keyakinan keterlaluan hingga boleh membawa padah, sebaliknya masih perlu bekerja keras menyantuni pengundi dan memenangi hati mereka.

PRK Pelangai ini mungkin titik permulaan kepada tiadanya lagi laluan mudah kepada mana-mana blok pada ketika pengundi – baik kesediaan mereka keluar ke pusat-pusat mengundi mahupun kecenderungan meneruskan pilihan tradisi semakin sukar diramal. - FMT

Ads by Kiosked - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.