`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, September 18, 2023

Rindu zaman majalah fizikal

 

Saya datang dari keluarga kelas buruh. Ayah saya bergaji kecil maka di dalam rumah saya tidak ada bajet untuk melanggan akhbar harian. Untuk baca ruangan kartun saya banyak melepak di rumah jiran. Dengan muka selamba saya akan membelek akhbar mereka dan menyelak ruangan kartun. Jiran sebelah rumah saya pelanggan tetap majalah kartun Gila-Gila. Berjam-jam saya di rumah jiran menelaah setiap isu majalah dwibulanan tersebut yang cukup popular ketika itu.

Apabila saya berusia 11 tahun saya sudah mampu menahan lapar pada waktu rehat untuk menyimpan duit belanja sekolah. 50 sen sehari saya simpan walaupun kelaparan meronta-ronta – saya pekakkan demi membeli majalah kesukaan saya itu. Masa itu senaskhah berharga RM1.50. Pendek kata selama dua minggu dalam sebulan saya mesti berlapar untuk membeli Gila-Gila. Kadang-kadang berlapar sampai sebulan sebagai tabung persiapan membeli keluaran semasa cuti penggal persekolahan. Sekolah cuti bermakna duit saku pun tiada.

Itu sahaja cara saya hendak mengumpul duit buat membeli majalah. Nak minta sendiri daripada ayah atau mak, saya takut. Mereka sangat tegas dan garang. Adalah sekali saya gagal menyimpan, saya cuba minta dekat emak tapi tak dapat. Saya tiada pilihan melainkan ‘mengambil’ duit emak saya yang disorokkan di dalam almari tempat menyimpan lauk (zaman sebelum mampu beli peti ais). Saya tidak berniat untuk mencuri duit belanja dapur yang disimpan emak sebab itulah saya sisipkan nota kecil yang saya tulis, ‘Mak. Saya ambil RM1.50 untuk beli Gila-Gila. Maafkan saya’. Agaknya sikap ‘gentle’ saya tidak membuat emak marah sebaliknya dia mengangguk tetapi dengan amaran ‘lain kali jangan buat lagi’. Ah! Menitis air mata pula sewaktu menulis ini. Maaf sekali lagi, mak.

Saya masih kecil pada hujung 70-an di mana ketika itulah zaman kegemilangan komik dan kartun memuncak. Saya terlepas suasana tersebut tetapi ia semakin rancak apabila memasuki tahun 80-an. Waktu itulah saya ada kerana seusia enam tahun sudah mahir membaca. Selain majalah kartun Gila-Gila yang menjadi juara turut ada majalah kartun yang lain seperti Gelihati, Mat Jenin, Batu Api, Bujal, Toyol dan lain-lain lagi. Ada yang bertahan lama, ada yang hanya keluar edisi pertama dan tidak muncul-muncul lagi.

Di sisi lain pula komik-komik nipis 24 muka surat terbitan Mediaseni yang berharga 70 sen turut memeriahkan pasaran. Di dalam bilik darjah kami bertukar-tukar majalah dan komik. Majalah kartun cina dari rakan Cina pun saya telaah (menengok lukisan sahajalah, baca tak reti). Itulah hiburan kami sewaktu kanak-kanak selain rancangan televisyen.

Meningkat remaja adik saya pula menggemari majalah hiburan artis seperti URTV. Dia beli majalah sebegitu. Orang tua kami tidak pula pernah membantah apabila melihat majalah-majalah yang kami beli tersusun di meja ruang tamu. Tidak juga mereka menggalakkan. Mak saya hanya marah jikalau ia bersepah sebab dia seorang pembersih yang cukup cerewet. Ayah saya tidak banyak cakap. Sesekali saya nampak juga ayah saya membaca majalah Gila-Gila yang saya beli. Sedap sikit hati saya melihatnya.

Ketika remaja anak muda kampung saya ada yang hanyut menagih dadah dan saya pula penagih majalah. Mamak penjual majalah pun adakalanya geli hati melihat kemunculan saya dengan gaya mendesak setiap kali isu terbaharu Gila-Gila terbit. Saya boleh tahu berapa haribulan majalah akan sampai. Kalau majalah lewat sampai seperti selalu saya akan muncul sekurang-kurangnya tiga kali sehari bertanya kepada mamak bila Gila-Gila akan sampai, macamlah mamak itu tauke Gila-Gila. Begitulah pandirnya saya waktu itu.

Melihat komik dan kartun di majalah fizikal waktu itu ibarat menonton filem di atas kertas. Pelukis-pelukis ini mempengaruhi bakat melukis saya. Penulis dan kolumnis Gila-Gila membentuk gaya tulisan genre humor saya. Membaca majalah kartun seperti membaca nota kuliah buat saya. Saya amati lukisan dan tulisan bersama ideanya. Saya pula mula aktif melukis kartun dan membuat komik sendiri untuk tatapan rakan sekelas. Kegilaan ini berterusan sampai ke tingkatan lima.

Ads by Kiosked

Bila ditanya bagaimana hanya saya seorang sahaja dari beratus murid angkatan saya di sekolah yang mendapat Bahasa Melayu A1 dalam SPM, saya jawab sebab saya banyak baca Gila-Gila. Ilmu membuat karangan, penceritaan dan garapan saya timba di majalah-majalah yang saya baca. Percayalah, saya tidak berminat membaca buku teks sekolah. Saya perlukan ilmu melalui kaedah humor agaknya, bukan dengan cara serius tegak.

Sehinggalah saya sudah menjadi guru pelatih di sebuah maktab di Kuala Lumpur saya masih melanggan Gila-Gila. Kali ini langkah saya semakin panjang. Saya panjat hampir setiap syarikat penerbitan majalah kartun popular waktu itu untuk menghantar karya dan belajar berkartun. Kepesatan industri ini juga melahirkan ‘batch’ ketiga gelombang majalah kartun dengan adanya majalah Gelagat, Gado-Gado, Ujang dan APO? menyaingi majalah yang sudah sedia ada. Dianggarkan pada tahun 80-an 90-an tidak kurang 50 buah majalah kartun diterbitkan waktu itu. Bayangkan! Itu tidak termasuk lagi berbagai majalah hiburan, sukan serta berbagai nama akhbar tabloid mingguan. Di dalam majalah berkonsep apa pun tetap ada sisipan ruangan kartun.

Ketika menjadi editor majalah Gila-Gila pada 2016-2017, saya diwawancara oleh sebuah portal online berkenaan bidang kartun. Pemberita muda tersebut seakan ‘blur’ apabila saya menceritakan betapa hebatnya industri komik dan kartun tanah air pada 80-an 90-an. Dia tidak dapat membayangkan apabila saya cerita dahulu di Perhentian Puduraya setiap gerai menjual majalah tempatan sehingga bertimbun-timbun. Dia berkerut apabila saya berkisah betapa seronoknya kami membaca majalah di dalam bas ekspres sewaktu hendak pulang beraya di kampung. Paling lucu apabila bertandang raya di rumah kawan-kawan dan sanak-saudara, majalah kartun dan majalah hiburan edisi khas hari raya yang tebal itu turut menjadi sebahagian juadah. Ia sama meriahnya dengan rancangan hiburan nyanyi-nyanyi di peti tv. Suasana ini sudah tidak ada lagi. Sudah pupus.

Apabila zaman komputer sampai dengan internet, majalah-majalah pun berkubur satu demi satu. Akhbar harian turut mengalami nasib yang sama. Kita semua beralih melihat dunia tanpa sempadan di telefon pintar. Apa nak semua ada. Majalah fizikal tidak relevan lagi. Saya pernah letak majalah di meja ruang tamu tetapi anak-anak buah saya tidak terliur menyentuhnya. Tidak ada faktor penarik lagi buat majalah fizikal.

Imej-imej bergerak di skrin telefon pintar ternyata lebih mengasyikkan sehingga anak generasi kini boleh lupa makan minum dan tidak menghiraukan orang sekeliling lagi. Kita pun sudah kurang menyentuh majalah dan buku fizikal lagi. Cuba tanya diri kita sepanjang Januari hingga September ini ada atau tidak kita membelek akhbar, majalah, atau buku fizikal? Kalau ada, berapa? Kalau tak ada saya tak pelik. Biasalah! Saya masih belum menemui jawaban apakah roda zaman akan berputar dan menaikkan semula majalah fizikal yang saya rindukan atau apakah ia akan terus tenggelam tidak bangkit-bangkit lagi sebagai petanda zaman tersebut sudah berlalu? Entahlah! - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.