`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, September 26, 2023

Sokong IS: Bekas penjual cendol kekal dipenjara 10 tahun

 

Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Nahzatulazran A Rahman, 44, atas sembilan kesalahan berkaitan IS.

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang bekas penjual cendol atas sembilan kesalahan antaranya memiliki dan mengedar barangan berkaitan militan IS serta memberi sokongan kepada kumpulan itu, enam tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya Zabidin Mohd Diah membuat keputusan sebulat suara selepas menolak rayuan akhir Nahzatulazran A Rahman, 44, terhadap hukuman penjara itu.

“Kami mendapati hukuman yang diputuskan terhadap kamu oleh Mahkamah Rayuan tidak terlalu berat yang memerlukan mahkamah ini campur tangan. Oleh demikian, rayuan perayu (Nahzatulazran) ditolak dan hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Rayuan dikekalkan,” kata Zabidin yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Mary Lim Thiam Suan dan Abu Bakar Jais.

Ads by Kiosked

Pada 5 Feb 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun terhadap Nahzatulazran selepas didapati bersalah atas sembilan pertuduhan berkaitan IS. Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 18 Julai 2022 mengurangkan hukuman penjara 16 tahun kepada 10 tahun.

Bagi tiga pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan IS, lelaki itu didakwa mempromosi kumpulan militan terbabit antaranya melalui pengedaran bendera, kain berwarna putih dan hijau muda dengan tulisan Jawi kepada tiga individu.

Ketiga-tiga kesalahan itu mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda, dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan tersebut.

Bagi dua tuduhan memiliki item-item berkaitan IS, Nahzatulazran didakwa memiliki sehelai bendera berwarna putih, dua papan berukir kalimah dalam bahasa Arab, dua bingkai gambar, gambar-gambar dan video berkaitan kumpulan militan itu mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda dan hendaklah juga dilucutkan hak ke atas barang-barang tersebut.

Sementara itu, bagi empat pertuduhan mengedar item berkaitan IS, dia didakwa mengedar sehelai bendera hijau bertulisan hitam, empai helai bendera hitam dan dua helai kain berwarna putih serta hijau mengandungi tulisan Jawi kepada beberapa individu, mengikut Seksyen 130JB(1)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Semua kesalahan itu dilakukan di beberapa lokasi antaranya sekitar kampung di Melaka Tengah dan di sebuah rumah di Kepong, pada Januari hingga September 2017.

Ads by Kiosked

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzri memohon supaya rayuan ditolak dan hukuman penjara 10 tahun dikekalkan terhadap Nahzatulazran.

“Keterangan saksi pakar menunjukkan video berkaitan pemilikan item dan tahanan-tahanan daripada kumpulan IS manakala keterangan saksi terlindung pula menyatakan bahawa perayu memintanya menyediakan RM500 bagi membolehkannya ke Filipina untuk menyertai kumpulan tersebut,” katanya.

Peguam Usha Kulasegaran dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili perayu berkata anak guamnya hanya merayu terhadap hukuman penjara dan mencadangkan supaya perayu dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun.

“Anak guam saya telah berada dalam penjara hampir enam tahun dan dia dijangka dibebaskan pada 10 Mei 2024, namun anak guam masih berhasrat meneruskan rayuan ini agar hukuman tersebut dikurangkan,” kata peguam itu dan menambah kata bahawa perayu mempunyai dua anak berusia 13 dan 15 tahun. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.