`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, September 2, 2023

Tumpu pada pelaksanaan pembaharuan struktur ekonomi, tingkat daya saing, titah Agong

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan harapan agar ekonomi negara terus berkembang dan mendoakan rakyat terus dilimpahi rezeki yang lebih baik.

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menyeru semua pihak agar terus memberi tumpuan terhadap pelaksanaan pembaharuan struktur ekonomi dan meningkatkan daya saing bagi menjamin pertumbuhan ekonomi negara yang lebih inklusif, kukuh dan mampan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Mej Jen Zahari Mohd Ariffin berkata, Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan harapan agar ekonomi negara terus berkembang dan berdoa rakyat terus dilimpahi rezeki yang lebih baik.

“Seri Paduka Baginda mengambil maklum keadaan ekonomi Malaysia yang berkembang pada kadar 4.2% pada separuh pertama 2023 meskipun berdepan persekitaran pertumbuhan ekonomi global dan perdagangan yang lebih perlahan.

“Perkembangan ini disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang kukuh berikutan pasaran pekerja dan pendapatan yang lebih baik, di samping pelaksanaan projek pelaburan baharu dan sedia ada,” katanya dalam kenyataan.

Baginda turut mengambil maklum bahawa kadar pengangguran juga menurun kepada 3.4% pada Jun 2023, manakala inflasi keseluruhan dan inflasi teras terus menurun pada suku kedua tahun ini.

Menurut Zahari, Sultan Abdullah juga memberi perhatian kepada perkembangan sektor kewangan Islam yang telah menyumbang kepada kemajuan ekonomi dan perkembangan sosioekonomi negara serta menzahirkan rasa syukur terhadap perkembangan inisiatif iTekad dalam membantu golongan rentan.

Setakat ini, iTekad yang mendapat sokongan 11 institusi kewangan dan hampir 60 rakan pelaksana telah memanfaatkan 3,000 usahawan mikro berpendapatan rendah terutamanya golongan asnaf.

Semalam, Agong berkenan menerima menghadap dan sembah taklimat berhubung perkembangan semasa ekonomi negara daripada Gabenor Bank Negara Malaysia Abdul Rasheed Ghaffour dan Timbalan Gabenor Jessica Chew Cheng Lian di Istana Negara.

Baginda turut berkenan menerima sembah taklimat berkaitan kestabilan nilai ringgit, keadaan inflasi, kemajuan ekosistem kewangan Islam, pengantaraan berasaskan nilai dan program kewangan sosial, khususnya program iTekad. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.