`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, January 24, 2024

Fahmi nafi kerajaan tarik balik subsidi RON95, diesel

 

Fahmi Fadzil menasihati orang ramai sentiasa berhati-hati dalam menerima sebarang maklumat sebaliknya merujuk kepada Kementerian Kewangan jika terdapat keraguan.

PUTRAJAYA: Dakwaan konon kerajaan akan menarik balik subsidi RON95 dan diesel tahun ini seperti yang tular di media sosial tidak benar, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Jurucakap kerajaan berkata, perkara itu belum lagi dibincang di peringkat Jemaah Menteri.

Beliau turut menafikan dakwaan beberapa cukai baharu akan diperkenal tahun ini, yang juga tular di media sosial.

“Sekali lagi ini adalah sebaran yang tidak mempunyai maklumat yang tepat, menimbulkan kecurigaan dan kegusaran awam,” katanya pada sidang media.

Justeru, Fahmi menasihati orang ramai sentiasa berhati-hati dalam menerima sebarang maklumat sebaliknya merujuk kepada Kementerian Kewangan jika terdapat keraguan.

Fahmi berkata, Jemaah Menteri turut dimaklumkan mengenai insiden seorang pempengaruh yang mendakwa tiga wakil Perikatan Nasional dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.

“Hal ini terbukti palsu dan satu laporan polis telah dibuat oleh pegawai Istana Negara terhadap individu tersebut dan kita serah kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan,” katanya.

Semalam, polis mengesahkan ada menerima laporan berkaitan dakwaan Chegubard, atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shahrin, bahawa tiga wakil PN dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong dan kes itu akan disiasat dan dikendali Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.

Kenyataan Chegubard didakwa dibuat menerusi video berdurasi 52 saat disiarkan menerusi TikTok atas akaun “Alias Official.”

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata kekosongan jawatan ketua pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) belum diisi kerana Kementerian Komunikasi dalam proses merombak agensi itu.

Beliau berkata, proses itu akan mengambil sedikit masa namun pihaknya sudah mengadakan perbincangan awal dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.